PKPB penting bagi elak tsunami ekonomi - Penganalisis
Bernama
Mei 2, 2020 19:52 MYT
Mei 2, 2020 19:52 MYT
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan bermula Isnin ini adalah berikutan tuntutan ekonomi yang semakin mendesak dan ini tidak bermakna bahawa nyawa manusia kurang penting, kata penganalisis ekonomi Dr Madeline Berma.
Menurutnya, sebarang kelewatan menggerakkan aktiviti ekonomi boleh menyebabkan negara dilanda tsunami ekonomi dan memusnahkan sistem yang telah terjejas akibat COVID-19.
Malah, katanya, kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk melandaikan keluk penularan pandemik COVID-19 menerusi pelaksanaan PKP demi memenuhi tuntutan kesihatan.
Namun, pada masa sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan keluk penguncupan ekonomi dapat turut dilandaikan akibat impak COVID-19.
"Ini merupakan tuntutan ekonomi dan ekonomi perlu digerakkan semula secepat mungkin untuk menjana pertumbuhan, mengurangkan pemberhentian pekerja dan meningkatkan akviti pengeluaran serta permintaan. Ia juga bertujuan mengurangkan pengganguran dan insiden kemiskinan, merapatkan jurang ketakseimbangan, serta memacu sektor luar (perdagangan antarabangsa, pelaburan antarabangsa).
"Keadaan ini akan mengundang masalah yang sama berat dengan pandemik COVID-19 (sekiranya tidak ditangani)," katanya dalam catatan di akaun Facebook beliau, pada Sabtu.
Madeline juga berharap semua pihak akan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (S0P) yang telah disediakan untuk PKPB agar kedua-dua keluk penularan COVID-19 dan keluk penguncupan ekonomi dapat terus dilandaikan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 pada Jumaat, berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut perdana menteri, Malaysia juga kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion dan jika PKP diteruskan untuk tempoh sebulan lagi, negara akan kerugian kira-kira RM35 bilion yang menjadikan jumlah keseluruhan RM98 bilion.
-- BERNAMA
#COVID-19
#ekonomi
#kerajaan
#koronavirus
#Muhyiddin Yassin
#pelaburan
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#SOP