PKPB: Pengusaha taska belum sedia beroperasi, bimbang penularan COVID-19
Hasimi Muhamad
Mei 3, 2020 20:33 MYT
Mei 3, 2020 20:33 MYT
Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) memaklumkan kebanyakan pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) masih belum bersedia untuk kembali beroperasi pada Isnin.
Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Shamsinah Che Shariff berkata persiapan membuka taska tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
Jelas beliau, selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, kakitangan taska juga perlu benar-benar bersedia bagi mengelakkan sebarang penularan COVID-19 berlaku di pusat asuhan tersebut.
"Sebab saya diberitahu juga banyak syarikat (pengendali taska) yang tidak mahu memulakan pada Isnin (4 Mei). Mereka masih ingin melanjutkan hingga 15 Mei ini.
"Jadi, saya (sebagai) pengusaha juga ingin menyeru kepada ibu-bapa sekiranya mereka masih lagi bekerja dari rumah, elok lah anak-anak di rumah sahaja sebab saya takut apabila memikirkan sekiranya ada pula kluster-kluster dari Taska.
"Ini kerana banyak juga kes yang tidak menunjukkan tanda tetapi (pesakit) menyebarkan virus kepada orang lain," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan akan membuka semula hampir semua sektor ekonomi secara berhati-hati mulai 4 Mei.
Tindakan tersebut, jelas Perdana Menteri, diambil selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan data yang diperoleh.
Antara sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ialah pusat jagaan kanak-kanak, dengan peraturan yang ketat termasuk penjarakan sosial untuk kanak-kanak dan melakukan dua kali pembasmian kuman setiap hari.
Menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua kakitangan mesti memakai penutup hidung dan mulut, selain mewajibkan sesiapa yang memasuki pusat jagaan kanak-kanak diambil suhu.
Dari segi melakukan sanitasi di premis, Shamsinah berkata, perkara itu tidak menjadi kekangan bagi pengusaha taska untuk berbuat demikian.
Namun, apa yang dirisaukan katanya adalah penjarakan sosial dalam kalangan kanak-kanak dan bayi yang disifatkan rumit untuk dilakukan.
"Kalau kita memikirkan kepada jarak, bagi taska-taska yang mengambil bayi yang sekarang mereka duduk dalam katil bayi tu, (melakukan) jarak satu meter - berapa besar kawasan taska yang perlu diadakan?
"Jadi, isu ruang juga satu lagi kebimbangan kepada kami. Kami juga perlu menyediakan penutup mulut dan hidung kepada kakitangan dan ruang menunggu untuk ibu bapa, mengatur waktu mandi serta jadual waktu tidur bayi dan kanak-kanak," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, untuk tempoh terdekat, operasi taska perlu diutamakan kepada ibu bapa yang bekerja sebagai petugas barisan hadapan.
Ini kerana, ujar beliau ia dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat asuhan tersebut, selain memudahkan pemantauan dilakukan oleh pihak pengasuh.
#Astro
#Kanak-kanak
#Kementerian Kesihatan
#keselamatan
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#petugas barisan hadapan
#PKP
#PKPB
#PPBM
#SOP
#taska