PKPB: Pengamal media diseru amalkan disiplin sosial dalam proses pemberitaan

Firdaus Azil
Mei 16, 2020 15:37 MYT
Saranan itu dibuat ekoran timbul isu pengamal media berhimpit-himpit dalam masjid ketika membuat liputan solat Jumaat semalam, kata Ismail Sabri Yaakob. - Gambar BERNAMA
Kerajaan memohon agar pengamal media untuk turut mengamalkan disiplin sosial yang tinggi dalam proses pemberitaan dalam usaha bersama-sama mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permintaan itu dibuat susulan timbul isu pengamal media berhimpit-himpit dalam masjid ketika membuat liputan solat Jumaat semalam.
Menurut beliau, perkara itu mendapat reaksi negatif daripada rakyat tatkala kerajaan begitu komited dalam memastikan masyarakat mematuhi disiplin sosial seperti penjarakan sosial dan kebersihan diri.
“Semalam terdapat isu bukan isu jemaah, tetapi isu pengamal media yang datang terlalu ramai, berhimpit himpit dan jelas tidak mengamalkan penjarakan sosial.
“Justeru saya memohon kepada pengamal media, jika ingin membuat laporan berita sekali pun tolong patuhi setiap SOP (prosedur standard operasi) yang dikeluarkan termasuklah penjarakan sosial,” katanya dalam sidang media harian, di sini hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, pihak penganjur sesuatu program juga dimohon untuk menyediakan tempat yang bersesuaian bagi membenarkan pengamal media menjalankan tugas masing-masing tanpa mengabaikan kepentingan disiplin sosial.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Farah Marshita Abdul Patah memohon agar rakyat tidak terlalu cepat menghukum dan menghina pengamal media.
Dalam catatan di laman Facebook beliau, Farah Marshita berkata, wartawan sebagai manusia biasa adakalanya terlupa melakukan penjarakan sosial dalam usaha mengejar berita, tetapi ia juga kadang-kadang berlaku kerana faktor tempat yang disediakan.
“Ada kawasan yang disediakan untuk pemberita kadang terlalu sempit, ada juga yang cuba mengelak daripada diwawancara, maka, terpaksalah kami berkejar, ada yang tidak membenarkan kami membuat liputan, maka, terpaksalah kami berkumpul beramai-ramai merayu dibenarkan membuat liputan.
“Sekiranya kami salah, teguran adalah wajar dan kami terima dengan tangan terbuka. Semua ini tidak kami sengajakan,” katanya lagi.
#Facebook #farah marshitah #ismail sabri yaakob #kesatuan wartawan kebangsaan malaysia #kluster keselamatan #koronavirus #langgar SOP #Media #Menteri Kanan #NUJM #pengamal media #Putrajaya #SOP
;