PKPB: Pemilik gimnasium dan salun janji patuhi SOP, harap boleh beroperasi

Astro Awani
Mei 27, 2020 11:50 MYT
Martin (kiri) dan Jamil berharap perniagaan mereka dibenarkan beroperasi semula dan memberi jaminan akan mematuhi SOP ditetapkan.
Lebih dua bulan tidak beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), ramai pemilik gimnasium dan salun kini bimbang perniagaan mereka gulung tikar.
Keadaan ini berlaku berikutan mereka tidak menjana sebarang keuntungan namun masih perlu membayar sewa premis dan pinjaman termasuk daripada bank, rakan serta ahli keluarga setiap bulan.
Pemilik gimnasium di sini, Jamil Jamalul, berkata mereka sanggup mengikut apa sahaja garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan asalkan boleh memulakan semula perniagaan.
"Ada beberapa jenis perniagaan termasuk restoran dan kedai dobi layan diri sudah boleh beroperasi sedangkan premis itu juga mempunyai risiko penyebaran virus. Mereka diarahkan oleh kerajaan supaya mematuhu SOP yang ketat.
"Kami juga mohon supaya diberi kebenaran sama dan kami akan patuhi SOP termasuk menyediakan pensanitasi tangan, memeriksa suhu badan dan melakukan proses basmi kuman setiap hari," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Katanya, proses pembasmian kuman di gimnasium lebih mudah dilakukan kerana keluasannya tidak sebesar pasar raya malah semua peralatan boleh disanitasi dengan menyeluruh.
Dia mendakwa, jika gimnasium miliknya masih tidak dapat dibuka dalam masa beberapa bulan lagi, dia terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu membayar sewa kedai sebanyak RM2,500 sebulan.
Sementara itu, pemilik salun di sini, Martin Liew, pula merayu agar kerajaan segera mengkaji dan membenarkan pemilik salun dan kedai gunting rambut untuk membuka perniagaan bagi memudahkan pematuhan SOP.
"Ketika PKP dan PKPB, ada tukang gunting yang menawarkan perkhidmatan di rumah pelanggan. Ini sebenarnya mengundang risiko kerana tiada siapa memantau kaedah mengelakkan jangkitan yang diamalkan mereka.
"Jika salun dan kedai gunting rambut dibenar beroperasi, maka akan ada SOP yang jelas termasuk memakai pakaian perlindungan diri (PPE), pelitup muka, sarung tangan serta penggunaan pensanitasi tangan.
"Susah juga kami sekarang ini sebab kedai tidak dibenarkan buka. Kami tidak tahu berapa lama mampu bertahan dengan keadaan seperti ini dan amat berharap kerajaan membantu kami dengan membenarkan beroperasi semula,” kata Martin.
#COVID-19 #dibuka semula #gulung tikar #gym #harapan #perniagaan #PKPB #salun #SOP #supaya
;