PKPB: Pembacaan meter secara fizikal dibenarkan

Bernama
Oktober 23, 2020 06:54 MYT
Suruhanjaya Tenaga menegaskan pembaca meter perlu mematuhi SOP langkah pencegahan COVID-19 seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Bacaan meter boleh dijalankan secara fizikal oleh pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) di kediaman orang ramai dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).
Namun, ST menegaskan pembaca meter perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan COVID-19 seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
"Mengenai pembacaan meter di kediaman orang ramai oleh pihak utiliti sepanjang tempoh PKPB, ST tiada halangan supaya bacaan meter dijalankan secara fizikal oleh pihak TNB," menurut ST dalam satu kenyataan hari ini.
ST ialah badan kawal selia yang bertanggungjawab untuk mengawal selia sektor tenaga, khususnya industri pembekalan tenaga elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Berikutan pelaksanaan PKPB itu, ST turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri, dan menggunakan elektrik secara selamat dan berhemah ketika berada di rumah.
-- BERNAMA
#pembacaan meter #Tenaga Nasional Berhad #TNB #PKPB #Suruhanjaya Tenaga #SOP #pandemik #COVID-19