PKPB: Pemain sektor perladangan, komoditi perlu patuhi syarat keselamatan
Bernama
Mei 2, 2020 04:32 MYT
Mei 2, 2020 04:32 MYT
Pemain sektor perladangan dan komoditi yang dibenarkan beroperasi sepenuhnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini, diingatkan supaya mematuhi segala syarat keselamatan yang ditetapkan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata antara yang perlu sentiasa diberi perhatian ialah pengambilan suhu badan pekerja dan merekodkannya setiap hari, penggunaan pensanitasi tangan serta mengamalkan jarakan sosial semasa bekerja.
"Kita juga minta mereka yang terlibat dalam sektor di bawah kementerian ini supaya mengamalkan sistem penggiliran kerja bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.
"Sekiranya mereka didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, kerajaan tidak akan teragak-agak menarik balik kelonggaran yang diberikan ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan gulai daging dan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Banggol Peradong di sini hari ini.
Beliau berkata kelonggaran dalam tempoh PKPB menyaksikan semua industri di bawah kementerian dibenarkan beroperasi 100 peratus berbanding hanya 50 peratus pengoperasian semasa PKP sebelum ini.
"Bezanya sebelum ini industri seperti kenaf tidak dibenarkan beroperasi di peringkat perladangan serta koko hanya dibenarkan beroperasi di peringkat kilang pengisar sahaja. Tetapi sekarang semuanya di peringkat perladangan dibenarkan beroperasi.
"Jadi dalam tempoh PKPB ini memang hasrat kita membuka ruang untuk ekonomi bernafas tetapi dalam masa yang sama kita kena ambil langkah berjaga-jaga membendung jangkitan COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19
#Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
#ekonomi
#kerajaan
#keselamatan
#koronavirus
#Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
#Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB
#Sektor Perladangan