PKPB: Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, bazaria di Wilayah Persekutuan dibenar beroperasi

Hasimi Muhamad
Jun 6, 2020 14:42 MYT
Ismail Sabri berkata kebenaran tersebut bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Gambar hiasan
Operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan dibuka semula bermula 15 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran tersebut bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
"SOP ini termasuk waktu pembukaan yang dihadkan bagi pasar pagi dan pasar terbuka antara pukul 6 hingga 11 pagi; pasar malam (4 petang- 10 malam) dan bazaria (5 petang -11 malam).
"Jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan pada 1.5 hingga dua meter dan lokasi kawasan penganjuran perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.
Ismail Sabri menambah pasar-pasar tersebut hanya dibenarkan menjual secara bawa pulang sahaja.
Selain itu, jelas peniaga juga perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE), sarung tangan serta pelitup muka.
"SOP ini boleh digunapakai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pasar-pasar di seluruh Malaysia.
"Tindakan penutupan serta merta akan dilakukan sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan. Peniaga dan pengunjung diwajibkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera," ujarnya.
#Kementerian Kesihatan #keselamatan #KKM #menteri #SOP
;