PKPB: Padah palsu surat kebenaran rentas negeri sambut Aidilfitri di kampung
Adie Sufian Zulkefli
Mei 26, 2020 19:09 MYT
Mei 26, 2020 19:09 MYT
Tindakan seorang penjawat awam memalsukan surat kebenaran merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung di Pendang membawa padah apabila dia dan keluarganya tidak dibenarkan kembali ke Putrajaya.
Lebih memburukkan keadaan, lelaki berusia 40-an itu kini berhadapan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan, apabila kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata suspek yang bekerja sebagai kerani sebelum ini diberi kebenaran pulang ke kampung, namun sepatutnya kembali ke Putrajaya pada 17 Mei lalu.
"Lelaki itu bersama isteri dan dua anak mereka pulang ke Pendang dengan alasan untuk menghantar ubat kepada bapanya. Semalam (Isnin) dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran rentas negeri ke Putrajaya.
"Bagaimanapun anggota polis yang memeriksa surat kebenaran yang dikeluarkan oleh polis Putrajaya sebelum ini, mengesan sesuatu yang mencurigakan sebelum menghubungi mereka untuk mendapatkan pengesahan.
"Anggota itu kemudian mendapati, terdapat perbezaan tarikh pada surat berkenaan. Suspek sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu, tetapi tarikhnya dipercayai sudah diubah kepada semalam," katanya pada Selasa.
Zainuddin berkata, lelaki terbabit dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes itu mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen, selesai.
Terdahulu beliau menyertai operasi pemeriksaan dari rumah ke rumah, premis makanan segera dan pasar raya di sekitar Bandaraya Alor Setar.
Turut serta dalam operasi itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.
Dalam pada itu, Zainuddin berkata, hasil pemeriksaan polis di dua rumah di Jalan Langgar dan Taman Saga, Alor Mengkudu, mendapati pemilik kediaman terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengenai sambutan Aidilfitri.
Katanya, walaupun terdapat banyak kereta di halaman rumah berkenaan, namun pemeriksaan mendapati semua ahli keluarga menetap di negeri ini.
#Aidilfitri
#bahaya
#COVID-19
#di kampung
#kebenaran
#padah
#palsu dokumen
#penjawat awam
#rentas negeri
#sambutan
#tukar tarikh