PKPB: Langkah pencegahan awal bagi elak penularan jangkitan - PM

Essan Yahya, Fauzi Suhaimi
Oktober 13, 2020 18:55 MYT
Tindakan PKPB itu susulan peningkatan kes di beberapa kawasan zon kuning seperti mana yang dilaporkan sebelum ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
Perdana Menteri berkata, perkara itu susulan peningkatan kes di beberapa kawasan zon kuning seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.
"Di Selangor, sebelum keputusan akhir untuk melaksanakan PKPB, kita telah laksanakan PKPB di beberapa kawasan.
"Tetapi berdasarkan pemerhatian beberapa hari lalu, kita dapati kawasan zon kuning seperti di Gombak dan Hulu Langat ada berlaku jangkitan virus itu.
"Jadi untuk kawalan awal, ini merupakan langkah terbaik yang dilakukan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam sidang media khas melalui video di sini pada Selasa.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB di semua kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tengah malam ini.
Ditanya mengapa kerajaan tidak melaksanakan PKPB di kawasan zon merah, Muhyiddin berkata, perkara itu merupakan langkah proaktif bagi mengekang penularan virus berkenaan.
"Jangan sudah terhantuk baru nak tergadah, kalau kita tidak ambil langkah segera, lagi susah dan langkah begini akan kita laksanakan jika perkara sama berlaku di lain-lain negeri," jelasnya.
#Muhyiddin Yassin #ismail sabri yaakob #COVID-19 #PKPB #Majlis Keselamatan Negara #perintah kawalan pergerakan bersyarat
;