PKPB Kg Padang Che Mas, Baling ditamatkan ikut jadual - Ismail Sabri

Madiha Abdullah
Oktober 30, 2020 17:36 MYT
Ismail Sabri memaklumkan, ini berikutan tiada lagi kes positif baharu dicatatkan di kawasan itu. - Foto/Bernama
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kg Padang Che Mas, Baling, Kedah ditamatkan pada 31 Okt sebagaimana dijadualkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, ini berikutan tiada lagi kes positif baharu dicatatkan di kawasan itu.
"Sehingga 29 Oktober 2020, melalui ujian saringan yang dilaksanakan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes positif COVID-19 baharu yang direkodkan di kampung ini.
"Sehubungan dengan itu, sidang khas bersetuju untuk menamatkan PKPB Kampung Padang Che Mas pada 31 Oktober 2020 sebagaimana yang telah dijadualkan," kata beliau dalam sidang media harian, hari ini.
Ismail Sabri turut memaklumkan, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau telah memulakan operasi untuk memberi bantuan kepada KKM merawat pesakit bukan COVID-19.
"Sejak 20 Oktober sehingga 28 Oktober 2020, Hospital Medan ATM telah menerima seramai 163 orang pesakit untuk rawatan bukan COVID-19.
"Antara rawatan yang diberikan adalah berkaitan dengan Obstetrik dan Ginekologi, Onkologi dan Pediatrik," ujarnya.
Dalam pada itu, seramai 553 individu telah ditahan semalam, dengan 21 daripadanya direman atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergeralan (PKP).
Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran
pelanggan (165), tidak memakai pelitup muka (153) dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal (87).
#ismail sabri yaakob #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #perintah kawalan pergerakan #PKP #COVID-19 #kes positif #Kementerian Kesihatan #KKM #kesihatan
;