PKPB: Kerajaan hantar pulang 2,189 PATI Indonesia bermula hari ini

Hasimi Muhamad
Jun 6, 2020 14:24 MYT
Ismail Sabri berkata, kumpulan pertama melibatkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada hari ini.
Seramai 2,189 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berada di depoh-depoh tahanan imigresen di seluruh negara akan dihantar pulang dalam penghantaran fasa pertama ke republik itu bermula Sabtu.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kumpulan pertama melibatkan 450 PATI dihantar dengan tiga penerbangan ke tiga lokasi iaitu Jakarta, Medan dan Surabaya.
Katanya, ia diikuti kumpulan 445 PATI lagi pada 10 Jun ini ke destinasi yang sama.
"Selain itu, proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, dengan 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun ini.
"Ini (2,189 PATI) merupakan fasa pertama, manakala fasa kedua pula akan melibatkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang apabila proses dokumentasi selesai.
"Saya difahamkan ada yang tidak mempunyai dokumen dan kerajaan Indonesia akan membuat dokumen untuk menghantar mereka pulang, mungkin menggunakan pas sehala untuk kembali dan ia sedang diuruskan oleh Keduataan Indonesia," katanya.
#COVID-19 #dokumen #Imigresen #Indonesia #ismail sabri yaakob #Jakarta #kedutaan #menteri #pas lawatan #pati #pendatang tanpa izin #PKPB
;