PKPB: Kawalan rapi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud

Nur Fazlizai Ali
Mei 8, 2020 11:53 MYT
Roslee berkata, langkah yang dilaksanakan itu bagi mengelak wujudnya kluster COVID-19 dari luar Terengganu. - Gambar ASTRO AWANI
Polis Terengganu memperketatkan kawalan dengan melakukan pemeriksaan rapi semua individu yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, langkah yang dilaksanakan itu bagi mengelak wujudnya kluster COVID-19 dari luar Terengganu.
Roslee berkata, pihaknya telah meminta pegawai dan anggotanya termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuat pemeriksaan lebih ketat dan rapi di kawasan berkenaan.
“Di lapangan terbang pun kita akan buat pemeriksaan yang rapi juga terhadap mereka yang masuk ke negeri Terengganu ini.
“Baru-baru ini ada kes import satu keluarga dari Terengganu yang pergi ke Sarawak... pada masa itu mungkin belum ada lagi kawalan yang ketat.
“Bila mereka balik, satu keluarga ini didapati positif. Justeru kita perlu ketatkan pemeriksaan di lapangan terbang dan lokasi yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya juga telah mengurangkan sekatan jalan raya daripada 49 kepada empat sekatan sahaja.
Jelasnya, sekatan itu dilakukan di lokasi stategik termasuk pintu atau laluan di sempadan negeri.
Selain itu, pihaknya juga akan memfokuskan pemantauan dan rondaan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan seperti penjarakan sosial diamalkan sepenuhnya.
#Angkatan Tentera Malaysia #kawalan #keselamatan #lapangan terbang #polis #tentera #terengganu
;