PKPB: Ini garis panduan kesihatan dan keselamatan bagi petugas perkhidmatan kewangan
Astro Awani
Mei 1, 2020 15:45 MYT
Mei 1, 2020 15:45 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat menyediakan garis panduan kesihatan dan keselamatan yang terperinci bagi penyedia perkhidmatan kewangan susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pembukaan hampir semua aktiviti ekonomi bermula 4 Mei ini.
Garis panduan ini adalah satu dokumen hidup (living document) dan akan disemak dari semasa ke semasa.
Berikut senarai aktiviti protokol di bawah Kementerian Kewangan bagi aktiviti berhadapan dengan pelanggan, penggunaan terminal layan diri dan operasi dalam institusi kewangan.
1) Kurangkan bilangan pelawat
- Hadkan bilangan pelanggan yang dibenarkan ke dalam premis pada bila-bila masa.
- Sediakan ruang giliran di luar jika selamat. Guna sistem beratur digital jika boleh.
- Penjarakan sosial 1 meter perlu dipatuhi semua pelanggan pada setiap masa.
- Galakkan pelanggan membuat temujanji sebelum mengunjungi premis.
- Galakkan pelanggan menggunakan sistem dalam talian dan terminal Perkhidmatan Layan Diri atau Self Service Terminal (SST) untuk berurus niaga.
- Jika boleh, kurangkan keperluan pelanggan menyentuh alatan di premis seperti skrin sistem beratur digital dan alat tulis.
- Letakkan sanitisers di tempat yang mudah diakses pengguna.
- Alih/simpan bahan yang tidak mudah dibersihkan seperti akhbar, majalah, risalah dari ruang menunggu.
- Setiap kakitangan berurusan dengan pelanggan perlu memakai topeng muka.
2) Kawal pintu masuk dan keluar
- Pakai pintu automatik atau tugaskan seorang kakitangan untuk membuka pintu.
- Sediakan sanitizer berhampiran pintu masuk dan keluar untuk kegunaan pelanggan.
- Jika boleh, sediakan pintu masuk dan keluar yang berasingan dan tandakan dengan jelas.
- Pamer notis bagi menghalang pelanggan yang tidak sihat, terdedah kepada pesakit COVID-19 atau baru sahaja kembali ke Malaysia dari memasuki premis.
3) Mengekalkan kebersihan dan penjarakan sosial ketika berurusan di kaunter
- Memastikan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara juruwang dan pelanggan.
- Juruwang perlu mengelak daripada menyentuh tangan / ibu jari pelanggan ketika mendapatkan cap ibu jari.
- Elakkan berkongsi pen juruwang dengan pelanggan. Galakkan pelanggan menggunakan pen sendiri atau beri pen percuma untuk kegunaan di kaunter.
- Sediakan ‘sanitizer’ tangan di kaunter untuk kegunaan pelanggan, terutamanya selepas setiap penggunaan peranti pembaca biometrik.
- Nyah cemar (disinfect) permukaan kaunter selepas setiap transaksi.
- Jika mengendalikan wang tunai, bersihkan tangan dengan ‘sanitizer’ selepas setiap transaksi. Sediakan kaunter khas untuk urusan melibatkan wang tunai.
- Setiap kakitangan berurusan dengan pelanggan perlu memakai topeng muka.
4) Kawalan kebersihan
Di premis institusi kewangan
- Sediakan ‘sanitizers’ di kawasan SST dan minta pelanggan untuk membersihkan tangan menggunakan ‘sanitiser’ sekurang-kurangnya selepas setiap penggunaan SST.
Di premis lain
- Sediakan ‘sanitizer’ di dinding untuk pelanggan membersihkan tangan selepas menggunakan SST.
- Pemilik SST perlu mengisi semula sanitizers secara berkala.
Notis peringatan di premis institusi kewangan dan premis-premis lain
- Pamer notis untuk mengingatkan pelanggan agar membersihkan tangan sekurang-kurangnya selepas setiap penggunaan SST.
5) Mesyuarat atau perjumpaan kakitangan
- Hadkan jumlah ahli mesyuarat dan elakkan perhimpunan besar (contoh, mesyuarat kakitangan, townhall, majlis makan malam tahunan, dan perhimpunan sosial serta keagamaan.
- Hadkan bilangan kakitangan di kawasan awam (contoh: bilik mesyuarat, kafeteria dan pantri) pada setiap masa bergantung kepada saiz kawasan.
- Kekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain.
- Jika boleh, pertimbang alternatif lain seperti penggunaan video atau tele-persidangan. Tangguhkan mesyuarat yang memerlukan tidak penting yang memerlukan kehadiran secara fizikal.
6) Susunan tempat duduk (stesen kerja)
- Semak susun atur pejabat agar terdapat sekurang-kurangnya 1 meter penjarakan sosial antara kakitangan. Contohnya, ini boleh dicapai dengan meletakkan pengadang antara pekerja dan menggalakkan kakitangan bekerja dari rumah, atau Work from Home (WFH).
- Jika penjarakan sosial tidak dapat dilakukan, pastikan sebarang interaksi dilakukan dengan cepat. Contoh, kurang daripada 15 minit.
- Kurangkan keperluan kakitangan untuk berada berdekatan antara satu sama lain pada permulaan dan masa operasi atau ketika berlaku pertukaran syif.
- Pamer notis untuk mengingatkan kakitangan mengamalkan penjarakan sosial.
- Sediakan sanitisers tangan di tempat yang sesuai dan mudah diakses.
- Jauhkan/simpan semua dokumen kertas yang tidak perlu dan hadkan pertukaran dokumen fizikal untuk mengurangkan risiko jangkitan.
7) Kerja di luar (Contoh: lawatan tapak)
Kakitangan hendaklah mematuhi keperluan berikut:
- Pakai peralatan perlindungan diri termasuk topeng muka dan sarung tangan (mengikut kesesuaian).
- Pelihara kebersihan diri termasuk elakkan dari menyentuh muka. Gunakan pembasmi kuman atau sabun untuk membersihkan tangan.
- Kekalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.
- Jika boleh, hadkan keperluan bersemuka ketika berurus niaga kepada kurang 15 minit.
- Jauhkan diri daripada melakukan kerja luar sekiranya berasa tidak sihat dan mempunyai gejala COVID-19.
- Simpan rekod pertemuan untuk tujuan pengesanan. Maklumat yang dikumpul hendaklah, sekurang-kurangnya termasuk nama, nombor telefon, tarikh, tempat dan masa pertemuan.
- Guna alat tulis sendiri (yang disediakan oleh majikan) untuk sebarang urus niaga termasuk mengisi dokumen.