PKPB: Ibu bapa, pelajar tak perlu bayar yuran selagi MRSM tidak dibuka - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Jun 2, 2020 16:06 MYT
Jun 2, 2020 16:06 MYT
Tiada sebarang bayaran perlu dibayar termasuk caruman bulanan selagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tidak dibuka, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, pihak pengurusan hanya boleh mengutip bayaran apabila institusi pendidikan tersebut dibenarkan dibuka dan beroperasi semula seperti biasa.
“Tak perlu selagi MRSM tidak dibuka... dan MRSM tidak boleh nak kutip apa-apa bayaran sekalipun termasuk caruman dan sebagainya sehinggalah apabila MRSM dibuka semula... barulah bayaran caruman dan apa pun bayaran mula dibayar.
“(Ini) kerana tidak ada pembelajaran, (dan) MRSM ditutup jadi tidak perlu bayar apa-apalah.
“Mana-mana ibu bapa yang sudah membayar sebelum ini, tindakan seterusnya akan diambil oleh pihak pengurusan MRSM,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.