PKPB: Hujan lebat jejaskan pendapatan Orang Asli Kensiu

Abd Hadi Che Awang
Mei 9, 2020 16:43 MYT
Kebanyakan Orang Asii bernasib baik apabila menerima banyak bantuan khususnya BPN dan sumbangan barangan keperluan harian dari pelbagai pihak sepanjang berlangsungnya tempoh PKP. - Foto Astro AWANI
Keadaan cuaca yang tidak menentu khususnya hujan lebat pada awal pagi dan lewat petang banyak memberi kesan kepada majoriti ketua keluarga Orang Asli Suku Kensiu di Baling terutama dari segi pendapatan seharian.
Jelas Tok Batin Kampung Lubuk Legong, Razali Kulim, kebanyakan masa mereka banyak dihabiskan di rumah dan pondok meskipun kelonggaran telah diberikan kerajaan untuk kembali bekerja memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan selain risau akan keselamatan masing masing susulan penularan COVID-19.
Tambahnya, dia turut menyifatkan kehadiran bulan Ramadan tahun ini amat berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya memandangkan aktiviti jual beli buluh lemang dan daun ketupat tidak dapat dilakukan.
Kemeriahan sambutan juga dilihat sedikit berubah memandangkan ada dalam kalangan mereka yang masih berada di dalam hutan untuk mengelakkan aktiviti berkumpul secara beramai-ramai.
"Pada Perintah Kawalan pergerakan (PKP) bulan Ramadan ini, kita sedang berpuasa. Bagi masyarakat Orang Asli sukarlah sedikit kerana kita tidak boleh mencari hasil hutan untuk dijual kepada orang luar, kepada peraih yang datang minta hasil hutan itu, buluh lemang, petai, daun ketupat.
"Kita tidak boleh bergerak, sangkut pula dengan hujan, kita tidak boleh buat kerja seharian. Itu tidak sempurna, tidak macam dulu-dulu, kita boleh bergerak ke mana saja kita boleh cari sumber hasil hutan untuk menampung pendapatan keluarga masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, Razali menyifatkan kebanyakan mereka masih bernasib baik apabila menerima banyak bantuan khususnya melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan beberapa sumbangan
barangan keperluan harian dari pelbagai pihak sepanjang berlangsungnya tempoh PKP.
Menurutnya, tempoh yang dilalui ketika ini juga banyak mengajar erti berjimat cermat kepada mereka memandangkan sumber yang terhad selain kawasan tempat tinggal jauh dari pekan berhampiran
"Harap duit bantuan BPN yang kerajaan umum, beri kepada masyarakat kami, kira semua masyarakat di Malaysia, kami ucap terima kasih kepada kerajaan kerana bantu masyarakat Orang Asli seluruhnya.
"Dapatlah kami meneruskan kehidupan seharian dengan ala kadar, sebab duit itu kami jimat cermat dengan musim hujan, dengan anak-anak, kami berjimat cermat," jelasnya.
Sementara itu, bagi Suderman Biat, 34 tahun, menjelaskan dia terpaksa mencari alternatif lain akibat tidak dapat melakukan aktiviti menoreh di kebunnya yang terletak di kawasan Ulu Legong.
Aktiviti bercucuk tanam khususnya melalui tanaman pisang dan ubi kayu yang diusahakan di sekitar pondok tempat tinggalnya, dilihat sedikit sebanyak dapat memberikan sumber pendapatan baharu kepadanya untuk membeli barangan keperluan harian.
"Kita tidak bekerja sebab ada PKP, sebab kita duduk di rumah ,sebab kita tidak perlu pergike mana-mana sebab ada penyakit, kita takut benda tu berjangkit, habis kita, jadi tidak boleh buat apa.
"Saya hanya menanam pisang, menebas sedikit dan duduk rumah, selepa itu petang balik tidak ke mana-mana, pendapatan insyaallah kurang terjejas sebab kerajaan ada bagi kita bantuan," katanya.
#BPN #keselamatan #Kulim #Orang Asli #Ramadan #rumah
;