PKPB: Harga barang keperluan diharap turun, penduduk akur walau risau punca pendapatan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 7, 2020 12:10 MYT
Oktober 7, 2020 12:10 MYT
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang bermula hari ini disambut baik orang ramai.
Kebanyakan mereka yang ditemui bersetuju dengan langkah tersebut bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Namun, ada yang berpendapat satu mekanisme baharu bagi mengurangkan harga barangan keperluan perlu diperkenalkan bersesuaian dengan ekonomi semasa rakyat negeri ini yang sedang berdepan penularan wabak tersebut.
Bagi Malim Aju, 37, dengan situasi terkini dan memandangkan masih ada ramai lagi yang masih baru mahu membina semula ekonomi kekuarga, harga barangan keperluan perlu diturunkan.
"PKPB ini memang bagus diadakan semula kerana kita mahu hapus wabak COVID-19.
"Cuma dari sudut ekonomi (sara diri) memang tidak baguslah, sebab macam saya pemandu e-hailing dari pagi tadi baru dapat dua pelanggan.
"Satu lagi, harga barang kalau boleh diturunkan dan diberi subsidi contohnya harga ayam dalam musim PKPB ini dapat jadi RM4 sekilo. Sebab semua orang sedang susah sekarang ini, barang pula mahal termasuk sayur-sayuran," katanya yang ditemui dalam tinjauan PKPB di Kota Kinabalu pada Rabu.
Sementara itu menurut seorang peniaga, Annie Liew, 60, PKPB yang berlangsung ketika ini diharap tidak berubah menjadi PKPD kerana risaukan pendapatan keluarganya akan terjejas.
"Kita harap semua orang boleh ikut SOP sekarang supaya wabak COVID-19 ini hilang.
"Kita peniaga memang susah mahu berniaga dan kita baru sahaja mahu bangun balik tetapi sekarang sudah kena PKPB balik," katanya.
Bagi seorang belia Brandon Schsmaczer, 21, yang baru berhijrah dari Ranau ke Kota Kinabalu untuk bekerja, beliau akur kehilangan punca pendapatan sekiranya keadaan semasa semakin memudaratkan.
"Kalau PKPB sahaja saya masih ada peluang berkerja tetapi kalau PKPD dilaksanakan memang saya akan hilang perkerjaan.
"Tetapi kalau itu yang berlaku apa boleh saya buat, saya kena akur perintah kerajaan sebab kita pun mahu wabak ini habis dengan segera supaya semua orang boleh jalani hidup seperti biasa," ujarnya.
Setakat ini selain tiga daerah terbabit empat daerah lain di Sabah masih diletakkan dibawah PKPBD iaitu di Semporna, Kunak, Tawau dan Lahad Datu dengan bilangan kes sebanyak 219 kes positif covid.
#PKPB
#COVID-19
#rakyat
#pendapatan
#ekonomi
#sara diri
#kerajaan
#harga barang
#kesihatan
#Kota Kinabalu