PKPB: Gimnasium, padang komersial, pusat futsal dibenarkan beroperasi 19 Oktober

Isabelle Leong
Oktober 17, 2020 17:41 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata prosedur operasi standard (SOP) selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan beroperasi mulai Isnin depan, 19 Oktober.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara tersebut diputuskan Sidang Khas Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) setelah mendengar permohonan dan rayuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung aktiviti sukan tiga pusat sukan tersebut.
“Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka Sidang Khas bersetuju untuk membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang telah ditetapkan sebelum ini.
“Bagi aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal turut dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan latihan dan terhad kepada 10 orang peserta pada satu-satu masa,” katanya pada sidang media secara maya pada Sabtu.
Ismail Sabri juga berkata prosedur operasi standard (SOP) selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata PDRM telah menahan 467 individu pada Jumaat atas kesalahan ingkar arahan PKPP.
“Daripada jumlah itu, seramai 460 individu dikompaun, enam lagi direman dan seorang dijamin,” katanya.
Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.
Katanya lagi, dua bot dan dua kenderaan darat juga berjaya dirampas.
BACA: Ini lima tumpuan sidang media ismail Sabri (17 Oktober)
#gimnasium #padang bola sepak komersial #pusat futsal #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Kementerian Belia dan Sukan #KBS
;