PKPB: Feri ke Langkawi kekal 2 perjalanan dari Kuala Kedah, 1 dari Kuala Perlis

Abd Hadi Che Awang
Mac 6, 2021 11:26 MYT
Kekerapan perjalanan feri dari Terminal Kuala Kedah adalah sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang manakala di Terminal Kuala Perlis hanya melibatkan satu perjalanan sehari. -Gambar fail
KUALA KEDAH: Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah bermula Jumaat tidak memberi kesan kepada jadual perjalanan feri ke Pulau Langkawi yang melibatkan perjalanan dari Terminal Kuala Kedah serta Terminal Kuala Perlis.
Pengurus Operasi dan Sumber Manusia Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata kekerapan perjalanan feri dari Terminal Kuala Kedah adalah sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang manakala di Terminal Kuala Perlis hanya melibatkan satu perjalanan sehari.
Bagaimanapun, jelasnya, pihak konsortium sentiasa memantau perkembangan semasa, khususnya pembelian tiket secara dalam talian dan akan menambah kekerapan perjalanan jika wujud permintaan daripada penumpang yang ingin ke pulau peranginan itu.
"Bermula hari ini, konsortium memantau sama ada terdapat permintaan pelancong untuk masuk ke Langkawi dan kita akan bekerjasama dengan hotel-hotel di Langkawi untuk melihat adakah terdapat tempahan dalam talian.
"Walau bagaimanapun, untuk laluan masuk ke Langkawi melalui Terminal Kuala Kedah masih kekal dua trip sehari iaitu sesi pagi dan petang; untuk laluan masuk ke Langkawi melalui Terminal Kuala Perlis kekal satu trip sehari," kata Baharin.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa wujud sedikit perubahan daripada segi jualan tiket secara fizikal di kaunter.
Jelas Baharin, bermula 1 Januari lalu, proses jualan tiket di kaunter akan ditutup 30 minit sebelum masa feri berlepas.
Penumpang dinasihati membuat tempahan awal selain merancang perjalanan masing-masing dengan sebaiknya.
Minggu lalu, pihak konsortium mengesahkan telah membuat penambahan daripada segi kekerapan perjalanan feri dari Terminal Kuala Kedah kepada dua perjalanan berbanding satu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan.
Konsortium juga telah membuka operasi perjalanan ke Pulau Langkawi dari Terminal Kuala Perlis iaitu sebanyak satu perjalanan sehari selepas tidak beroperasi semasa tempoh PKP dan PKP (Bersyarat) susulan larangan rentas negeri.
#feri langkawi #Baharin Baharom #Ferry Line Ventures #Terminal Kuala Kedah #terminal kuala perlis #perintah kawalan pergerakan #rentas negeri #pelancong
;