PKPB: Elak dikompaun, peniaga naik kenderaan lebih 2 orang perlu mohon surat kebenaran

Isabelle Leong
Oktober 17, 2020 18:23 MYT
Peniaga yang menaiki kenderaan yang membawa lebih daripada dua orang penumpang di kawasan di bawah pelaksanaan PKPB perlu memohon surat kebenaran perjalanan daripada pihak polis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peniaga yang menaiki kenderaan yang membawa lebih daripada dua orang penumpang di kawasan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu memohon surat kebenaran perjalanan daripada pihak polis.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan kompaun oleh pihak polis.
“Saya difahamkan ada peniaga yang menaiki kereta empat orang termasuk pemandu daripada keluarga sama dan keluar berniaga kira-kira 30 meter daripada kediaman telah dikompaun pihak polis.
"Kami telah mendapatkan nasihat daripada pihak polis.
“Mereka menasihati mana-mana individu yang terlibat dalam perniagaan seperti ini, yang (mempunyai) keperluannya melebihi dua orang dalam kenderaan, mereka perlu melaporkan kepada pihak polis dan mendapatkan surat kebenaran perjalanan supaya tidak dikenakan kompaun," pada sidang media secara maya pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata dari 24 Julai sehingga 16 Oktober 2020, seramai 49,923 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,261 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 72 Hotel dan 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.
“Manakala 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 40,281 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
#PKPB #dua orang satu kenderaan #ismail sabri yaakob #perintah kawalan pergerakan bersyarat #discaj #rawatan #COVID-19 #pandemik
;