PKPB di Tongkang Pechah dilaksanakan bermula 29 November
Hasimi Muhamad
November 27, 2020 17:18 MYT
November 27, 2020 17:18 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor bermula 29 November sehingga 13 Disember ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan tersebut dibuat selepas sebanyak 56 kes positif COVID-19 dikesan di kawasan tersebut, setakat ini.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah menjalankan ujian saringan ke atas 672 individu, dengan 302 sampel masih menunggu keputusan.
"PKPB ini akan melibatkan seramai 16,300 penduduk di kawasan-kawasan seperti berikut: Bandar Putera Indah; Lorong 7 hingga 10; Batu 7; dan Kampung Mohd Nor.
"Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan ini," katanya dalam sidang media, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, aktiviti ekonomi masih berjalan seperti biasa, mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Kesihatan
#Media
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#operasi
#Batu Pahat
#KKM
#SOP
#COVID-19
#PKPB di Tongkang Pechah