PKPB di Terengganu perlu ditamat lebih awal - MB

Rahimah Abdullah
November 18, 2020 22:10 MYT
Dr Ahmad Samsuri berharap PKPB di negeri itu ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap agar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan.
Beliau telah mengutarakan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara dalam talian pada Rabu.
Malah, katanya hasrat untuk menamatkan PKPB lebih awal di Terengganu pernah disuarakannya adalah pada 15 November lalu.
"Saya telah bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 November lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan COVID-19 di Terengganu, memohon supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan.
"Terima kasih kepada beliau yang sangat prihatin untuk mempertimbangkan hal ini dengan membawa dalam mesyuarat di Putrajaya.
Sumber Facebook DrAhmadSamsuri
"Hari ini, sekali lagi saya mengutarakan kedudukan terkini COVID-19 di Terengganu dan alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal dari jadual asal dalam Mesyuarat MKN secara atas talian yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dari pejabat beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, PKPB yang dilaksanakan bermula pada 9 November sangat memberi kesan kepada seluruh rakyat.
"Untuk memastikan penularan dapat dikawal sebaik mungkin, saya bersama rakan-rakan pentadbiran dan Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia dan lain-lain telah bekerja keras mencari jalan untuk mengumpul maklumat terkini supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan," kata beliau lagi.
Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada pimpinan UMNO Terengganu yang bertemu dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyuarakan perkara yang sama.
"Ini antara contoh kerjasama yang harus terus berlaku untuk kepentingan bersama. Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, " ujarnya.
#PKPB #terengganu #COVID-19 #Menteri Besar #ahmad samsuri #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin
;