PKPB di Kuching ditamatkan esok - JPBN Sarawak

Syafik Shukri Jalil
November 26, 2020 17:25 MYT
Jawatankuasa itu dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan, PKPB di Kuching yang sepatutnya berakhir esok, ditamatkan lebih awal iaitu hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching ditamatkan pada 27 November 2020 (Jumaat) jam 11.59 malam.
Keputusan dicapai selepas daerah itu hanya mencatat 30 kes jangkitan tempatan sehingga hari ini.
Menerusi kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kuching sebelum ini diisyithar sebagai zon merah namun kini sudah dikategorikan sebagai zon jingga.
Terdahulu, lanjutan tempoh PKPB di Kuching diumumkan pada 22 November 2020 oleh Pemangku Pengerusi JPBN Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing.
Selain itu, Sarawak hari ini melaporkan pertambahan empat kes positif COVID-19 di Kuching menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini meningkat kepada 1062 kes.
“Dua kes melibatkan warga tempatan yang tiba dari Sabah dengan penerbangan dari Kota Kinabalu pada 25 November 2020.
“Mereka disahkan positif COVID-19 pada hari sama dan kes dikategorikan sebagai kes import B,” kata kenyataan itu.
Manakala dua kes lagi melibatkan warga tempatan yang baru tiba dari Pontianak, Kalimantan Barat pada 24 November 2020.
Mereka tiba melalui Pintu Masuk Antarabangsa ICQS Tebedu, Serian dan dimasukkan ke pusat kuarantin di Kuching.
“Kedua-dua mereka menjalani ujian saringan COVID-19 pada 24 November 2020 dan disahkan positif pada 26 November 2020.
“Pengesanan kontak rapat kes ini sedang dijalankan dan kes dikategorikan sebagai kes import A,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu tujuh kes dilaporkan pulih dan dibenar discaj hari ini melibatkan enam kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes dari Hospital Miri.
#PKPB di Kuching #PKPB tamat #Kuching #COVID-19 #JPBN Sarawak #Sarawak
;