PKPB di empat negeri wajar dilanjutkan dua atau empat minggu lagi - Pakar Kesihatan Awam
Hafizi Rosli
Oktober 24, 2020 13:12 MYT
Oktober 24, 2020 13:12 MYT
Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) yang dilaksanakan di empat negeri (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Selangor) wajar dilanjutkan untuk dua atau empat minggu akan datang.
Jelas Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman, negeri-negeri berkenaan masih menunjukkan pola peningkatan kes COVID-19.
"Data kes yang ada menunjukkan wajar untuk disambungkan PKPB, sekurangnya dua ke empat minggu untuk kita melihat polanya.
"Sebagai contoh Sabah dan Selangor, kes aktif menujukkan peningkatan. Jadi saya mengesyorkan untuk disambung lagi," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Jelas Dr Malina, pelanjutan PKPB juga boleh memastikan kerajaan mengambil tindakan bersesuaian dan langkah pantas untuk membendung penularan yang lebih meluas lagi.
PKPB bagi negeri Sabah akan berakhir pada 26 Oktober manakala tiga negeri di Lembah Klang (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor) akan berakhir pada 27 Oktober.
Susulan PKPB di keempat negeri ini, kerajaan memperkenalkan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi kakitangan pengurusan dan penyeliaan sebagai langkah mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik COVID-19 terutama di kawasan sedang menjalani PKPB.