PKPB: Boleh rentas daerah, negeri, kerajaan kaji kebenaran lebih banyak aktiviti pelancongan
Astro Awani
Disember 5, 2020 17:34 MYT
Disember 5, 2020 17:34 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji kebenaran aktiviti pelancongan, termasuk kemungkinan membuka lebih banyak sektor susulan keputusan membenarkan rentas daerah dan negeri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini beberapa kawasan pelancongan masih tidak dibuka dan perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Beberapa kawasan (pelancongan) masih kita tidak buka. Sektor yang dibenarkan akan diumumkan kerana di bawah PKPB ada aktiviti dibenar... pelancongan ini boleh jadi sosial atau ekonomi.
"Contoh, kalau melibatkan pengusaha bas, ia akan jadi aktiviti ekonomi dan kalau individu, boleh jadi aktiviti sosial. Kita sedang bincang dengan Kementerian Pelancongan (Seni dan Budaya)," katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Hasil perbincangan dengan kementerian itu akan diumumkan kemudian, katanya.
"Kita akan umum nanti. Misalnya, zoo, boleh buka sebab ia adalah aktiviti di luar," ujarnya.
Aktiviti rekreasi luar ketika ini dibenarkan, namun ia perlu diteliti semula jika melibatkan pelancongan.
"Outdoor (rekreasi luar) dibenarkan, sebab jumlah yang terlibat. Ini akan dilihat lebih teliti oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Ia akan mencadangkan aktiviti mana akan dibuka dan akan mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.
#ismail sabri yaakob
#pelancongan
#Kementerian Kesihatan
#PKPB
#PKPP
#COVID-19
#outdoor
#rekreasi luar
#rentas daerah
#rentas negeri
#dibenarkan