PKPB: Biarpun kekok, pengguna pengangkutan awam patuh penjarakan sosial
Isabelle Leong
Mei 4, 2020 21:08 MYT
Mei 4, 2020 21:08 MYT
Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini menyaksikan sebahagian warga kota yang perlu bekerja semula, kembali menggunakan perkhidmatan penangkutan awam.
Biarpun ramai pengguna pengangkutan awam membanjiri stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), namun tiada berlakunya kesesakan.
Tinjauan Astro AWANI sejak seawal 7.30 pagi mendapati ramai pengguna mod penangkutan awam tersebut membanjiri stesen LRT Pasar Seni yang merupakan stesen pertukaran atau stesen intergrasi.
Namun, mereka tidak berpusu-pusu meskipun ia merupakan waktu kemuncak.
Ini sekali gus menunjukkan bahawa penumpang pengangkutan awam sudah faham akan penjarakan sosial dan mematuhi jarak selamat satu meter yang ditetapkan baik semasa beratur untuk menaiki tren mahupun di dalam tren.
Pemantauan Astro AWANI turut mendapati penumpang di dalam tren tidak duduk di kerusi yang dilekatkan notis mengenai penjarakan sosial.
Tidak ketinggalan juga mereka yang hanya berdiri di kawasan atau ruang yang ditampalkan pelekat berwarna merah sahaja.
Rata-rata penumpang yang ditemui nyata puas hati dengan pengamalan penjarakan sosial di pengangkutan awam.
“Sebelum ini, saya ada ke pejabat juga tetapi pengalaman kali ini berbeza kerana terdapat ramai orang.
“Penjarakan sosial yang diamalkan di MRT adalah sangat baik.
“Petugas di MRT juga memberi sokongan kepada amalan ini jadi saya rasa ia boleh dipraktikkan setiap hari dan penumpang-penumpang juga ikut arahan yang ditetapkan,” kata Syamimi Alia Mohd Halimi, seorang eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
Syamimi akui risau terdapat ramai yang akan berhimpit di stesen pengangkutan awam.
Oleh itu, dia memulakan perjalanannya ke tempat kerja sejam lebih awal.
“Semalam saya risau kerana hari ini akan ramai orang jadi saya keluar rumah pukul 7 pagi kerana saya perlu sampai di pejabat pada pukul 9.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, saya keluar pukul 8 pagi tetapi sebab kerajaan sudah mengumumkan ada penjarakan sosial, jadi ikut logik semua akan beratur satu meter jauh tetapi saya sampai terlebih awal pula,” katanya.
Perasaan yang sama turut dikongsi jurujual, Barry Aw Pang Kee, yang meninggalkan rumahnya lebih awal supaya tidak lewat sampai ke pejabat.
“Ia baik-baik sahaja kerana hanya ada beberapa orang (di stesen). Saya ingatkan ada ramai orang kerana sektor ekonomi dibuka.
“Oleh itu, saya datang awal. Saya mula bekerja pada 9 pagi tetapi ia hanya 8.30 pagi sekarang.
“Ia sedikit kekok kerana kebiasaanya, ia memang sesak di sini kerana terdapat ramai orang,” ujar Barry ketika ditemui di stesen MRT Bukit Bintang.
Bagaimanapun, seorang eksekutif peruncitan, Aw Yong Hui akui bimbang kerana ramai akan berada di tempat awam dan terdapat kebarangkalian untuk dijangkiti wabak COVID-19.
Justeru, beliau memilih untuk memakai topeng muka dan pelindung muka demi keselamatan diri.
“Sekiranya kami terus mengamalkan penjarakan sosial, ia lebih baik kerana tidak sesak dan jika kami dapat mengekalkannya seperti ini buat masa ini, ia lebih baik.
“Pastinya saya risau kerana pengumuman (berkenaan pembukaan semula sektor ekonomi) dibuat secara tiba-tiba. Saya tidak dapat bayangkan situasi hari ini jika ia seperti sebelum ini.
“Waktu kemuncak pada sebelah pagi biasanya sangat sesak. Dengan situasi wabak ini, ia merupakan situasi yang buruk jika keadaannya sesak,” katanya.
Biarpun sedikit kekok dengan prosedur normal baharu ini, namun penumpang-penumpang berkenaan faham bahawa ia suatu langkah yang harus diambil untuk mencegah penularan wabak COVID-19.
Pastinya, normal baharu ini memerlukan kerjasama dan disiplin semua rakyat Malaysia.
Namun, timbulnya persoalan, mampukah rakyat Malaysia terus berdisiplin dan mempraktikkan normal baharu ini?
Apa yang pasti adalah disiplin diri, disiplin sosial dan penjarakan sosial adalah mandatori atau kita berdepan kemungkinan dibadai gelombang baharu wabak COVID-19.
#kekok
#LRT
#MRT
#penjarakan sosial
#perintah kawalan pergerakan
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#Transit Aliran Massa
#Transit Aliran Ringan
#waktu kemuncak