PKPB: Bas Rapid Penang kembali beroperasi sepenuhnya

Astro Awani
Mei 8, 2020 10:50 MYT
Waktu operasi bas Rapid Penang juga kembali kepada asal iaitu bermula jam 5.30 pagi sehingga 11 malam. Gambar fail
Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bawah Strategi Pemulihan Berperingkat negeri, pada Jumaat, menyaksikan semua 242 bas Rapid Penang mula beroperasi sepenuhnya.
Ketua Operasi Rapid Penang, Ahmad Shabuddin Abdullah berkata pertambahan jumlah perkhidmatan bas berbanding sebelum ini adalah bagi menampung keperluan susulan pembukaan semula sektor ekonomi di Pulau Pinang.
Katanya, waktu operasi bas juga kembali kepada asal iaitu bermula jam 5.30 pagi sehingga 11 malam.
Beliau berkata, operasi pengangkutan awam berkenaan dihadkan selama lebih 50 hari sebelum ini, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.
Selain itu katanya, Rapid Penang terpaksa mengurangkan 50 peratus penumpang dalam setiap bas iaitu antara 19 hingga 23 orang sahaja dibenarkan masuk ke dalam kenderaan berkenaan pada satu-satu masa untuk mememastikan penjarakan sosial boleh dilakukan.
"Dalam operasi hari ini, kita telah tingkatkan jumlah bas kita sebagai persediaan kepada pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan kita tingkatkan bas kita kepada 100 peratus atau 242 bas.
"Waktu operasi juga kembali seperti biasa. Sebelum ini ketika PKP, kita hanya beroperasi pada jam 6 hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 10 malam," katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama pelaksanaan PKPB melalui Strategi Pemulihan Berperingkat fasa dua di Terminal Bas Rapid Penang di Pengkalan Weld, Georgetown.
Ahmad Shabuddin berkata pihaknya memberi penekanan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu menjaga penjarakan sosial dan meminta kakitangan serta penumpang memakai penutup hidung dan mulut bagi membendung penularan COVID-19.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan pengurangan bilangan penumpang berbanding hari biasa sebelum ini berikutan faktor cuti umum dan PKPB.
Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan Strategi Pemulihan Berperingkat melalui tiga fasa dengan pelaksanaan PKPB dikuatkuasakan pada 8 Mei.
Fasa pertama Strategi Pemulihan Berperingkat itu bermula 4 hingga 7 Mei iaitu tempoh persiapan bagi setiap sektor membuat persediaan dan melaksanakan SOP di tempat masing-masing, fasa kedua pula adalah tempoh pembiasaan bermula 8 Mei hingga 12 Mei.
Fasa ketiga bermula pada 13 Mei dengan semua sektor dibenarkan beroperasi tetapi perlu mematuhi SOP .
#bas #COVID-19 #ekonomi #kerajaan #operasi #PKP #PKPB #pulau pinang #Rapid Penang
;