PKPB: APM tidak lupakan golongan kurang bernasib baik
Nur Fazlizai Ali
Mei 19, 2020 13:32 MYT
Mei 19, 2020 13:32 MYT
Kesibukan menjalankan tugas tidak menghalang lebih 70 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu melakukan kerja kebajikan dengan mengagihkan barangan keperluan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Menerusi Kembara Cakna Prihatin Aidlfitri APM dan Repsol Oil and Gas Malaysia Limited (Repsol) buat julung kalinya bergabung tenaga menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan agar mereka tidak ketinggalan merasai suasana Aidilfitri seperti orang lain.
Bantuan kotak rezeki berisi keperluan asas dan makanan harian itu diharap menceriakan sambutan Syawal buat 80 keluarga di seluruh daerah di negeri ini.
Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kembara itu membabitkan 10 buah motosikal yang akan bergerak mengikut daerah menerusi jadual yang ditetapkan selama tiga hari bermula Ahad lalu.
Katanya, bagi setiap daerah, pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengenal pasti keluarga yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
"Sebahagian daripada sumbangan ini adalah daripada pihak Repsol Malaysia. Kita yang membawa barang-barang berkenaan, kerana seperti sedia maklum, APM dan Rela sahaja yang diamanahkan menjalankan program agihan daripada NGO atau organisasi tertentu.
"Jadi, InsyaAllah sempena dengan minggu terakhir Ramadan, kita mengharapkan sumbangan daripada pihak tertentu untuk menceriakan sedikit suasana bagi mereka yang kurang berkemampuan menyambut Aidilfitri," katanya.
Sementara itu, beberapa penerima, khususnya golongan warga emas di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, teruja menerima sumbangan kotak rezeki yang mampu meringankan beban yang ditanggung, terutama waktu sukar ketika negara dalam keadaan PKP Bersyarat ketika ini.
Ia berikutan mereka tidak mampu bekerja kerana sakit atau faktor usia dan hanya bergantung kepada bantuan serta ihsan penduduk setempat.
Mereka menyatakan, sumbangan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutama ketika pelaksanaan PKPB dan ketibaan satu Syawal tidak lama lagi.
"Saya ada tanam sawi, sekali ambil, jual, boleh dapat dalam RM30. Bolehlah buat belanja beli ikan. Tanam sawi pun dalam bekas saja sebab tanah yang ada tak cukup luas. Saya pun bukan sihat sangat untuk bercucuk tanam.
"Makanan, adalah sesekali orang datang beri sumbangan. JKM pun ada beri RM200 sebulan. Bolehlah saya buat duit belanja. Ringanlah sikit tanggungan," kata Fatimah Yusop, seorang suri rumah.
Seorang warga emas, Awang Salleh, turut mengakui menerima sumbangan orang ramai dan JKM, dalam bentuk makanan asas seperti beras, gula, biskut dan ikan sardin dalam tin.
#Aidilfitri
#angkatan pertahanan awam
#APM
#bantuan
#Barangan Keperluan
#hari raya
#jkm
#Kembara Cakna Prihatin Aidlfitri
#kotak rezeki
#kurang bernasib baik
#makanan
#PKP
#PKPB
#Repsol
#Repsol Malaysia
#syawal
#terengganu