PKPB: Aktiviti ziarah-menziarahi hanya dibenarkan pada hari pertama perayaan
Isabelle Leong
Mei 13, 2020 14:50 MYT
Mei 13, 2020 14:50 MYT
Aktiviti ziarah-menziarah pada musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan perkara tersebut dengan had maksimum 20 orang pada hari tersebut.
Ismail Sabri berkata perayaan tersebut merangkumi Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan juga Hari Gawai.
“Jumlah 20 orang itu perlu ambil kira berdasarkan saiz rumah.
“Katakan flat tersebut berukuran 600 persegi. Jika terdapat 20 orang (tetamu) pada satu-satu masa mungkin terlalu ramai dan penjarakkan sosial tidak boleh dilakukan.
“Mungkin setiap kali hanya benarkan lima orang (tetamu) dan boleh dilakukan selama empat kali tetapi maksimumnya tetap 20 orang satu hari,” kata Ismail Sabri pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Tegasnya, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri juga tidak dibenarkan sama sekali.
“Dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), rumah terbuka adalah terlarang. Rumah terbuka adalah tidak dibenarkan.
“Sebagai contoh di Bahrain, sebuah keluarga mengadakan majlis berbuka puasa dan ia dihadiri 16 orang ahli keluarga.
“Akhirnya, 16 sekeluarga tersebut didapati positif COVID-19,” ujarnya.
Tatkala kunjung-mengunjung pada hari raya, orang ramai juga dinasihatkan supaya mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan dan menyediakan cecair pembasmi kuman.
#Hari Gawai
#hari pertama perayaan
#Hari Raya Aidilfitri
#ismail sabri yaakob
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#Pesta Kaamatan
#PKPB
#rumah terbuka
#ziarah-menziarahi