PKP3.0: Kerajaan perlu perluas bantuan pada M40 - Pensyarah ekonomi

Fareez Azman
Jun 22, 2021 07:28 MYT
Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beberapa inisiatif jangka masa panjang boleh diambil dalam meringankan beban golongan M40 termasuk lanjutan moratorium. - Gambar FACEBOOK
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperluaskan bantuan kepada golongan M40 dalam fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff, beberapa inisiatif jangka masa panjang boleh diambil dalam meringankan beban golongan berkenaan termasuk lanjutan moratorium.
Beliau berkata, menerusi pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus), sebilangan besar golongan M40 mengeluh kerana maanfaat yang ditawarkan bersifat jangka masa pendek.
“Ia (Pemerkasa Plus) sebenarnya jangka masa pendek, hanya untuk golongan rentan benar-benar terjejas, walaupun Menteri Kewangan ada cakap, ada pun bantuan M40 untuk institusi tersebut, tetapi tidak cukup.
"Kalau kita lihat apa yang M40 mahukan moratorium lebih panjang untuk hutang bulanan mereka, tetapi ada bantuan yang boleh diberi kepada M40 tidak semestinya melibatkan suntikan tunai daripada kerajaan," kata Ahmed Razman dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.
Beliau berkata, beberapa kaedah bantuan juga dilihat berkesan mengurangkan beban dan tekanan yang dihadapi golongan itu termasuk diskaun bil utiliti dan cukai pintu oleh pihak berkuasa tempatan.
"Pertama kalau kita sebut golongan M40 bukan sahaja kena bayar hutang pinjaman, mereka kena bayar sewa kereta atau rumah atau utiliti pelan data internet, cukai pintu dan pelbagai belanja kos bulanan.
"Moratorium boleh diberi atau diskaun untuk bil utiliti pelan internet, cukai pintu yang diberikan agensi tertentu seperti pihak berkuasa tempatan, syarikat utiliti dan sebagainya.
"Jika ini dapat dilakukan maka komitmen bulanan M40 dapat dikurangkan dan bila berlaku penurunan pendapatan, masih ada lebihan pendapatan dan ianya tidak perlu semestinya melibatkan bantuan tunai secara langsung kepada kerajaan," jelasnya lagi.
#Astro Awani #perintah kawalan pergerakan #cukai #PKP #suntikan #Moratorium #kerajaan #PEMERKASA Plus #bantuan #M40 #B40 #rakyat #ekonomi #pekerjaan #diskaun