PKP: Walau terdesak, hilang punca pendapatan, jangan pinjam along - Polis

Astro Awani
Mei 5, 2020 09:12 MYT
ROSLEE: Apabila kita terlekat dengan along, akan mengambil masa yang panjang untuk kita selesaikan masalah. - Astro AWANI
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan menyaksikan ramai individu yang tidak dapat bekerja, sekali gus terputus punca pencarian.
Bagaimanapun, itu bukan alasan yang membolehkan mereka mengambil jalan singkat dengan meminjam wang daripada lintah darat atau along.
Justeru, polis Terengganu mengingatkan masyarakat di negeri ini supaya tidak terpengaruh atau terpedaya dengan tawaran-tawaran yang dilakukan ceti haram seperti itu.
Ketua Polis Negeri Datuk Roslee Chik berkata, orang ramai perlu berfikir panjang sebelum terjebak dengan pinjaman yang ditawarkan along.
"Kemungkinan akan berlaku, tetapi saya hendak menasihati mereka yang terdesak ini, kalau boleh jangan pinjam dengan along, jangan terjebak dengan along.
"Apabila kita terlekat dengan along ini, akan mengambil masa yang panjang untuk kita selesaikan masalah.
"Along ini banyak jenis. Ada yang minta bayaran hari-hari. Kalau kita gagal bayar, faedahnya akan meningkat," katanya.
Roslee berkata, sepanjang PKP dikuatkuasakan, kadar kes jenayah di Terengganu turut merekodkan penurunan.
Bagaimanapun, kes jenayah komersial terutama yang melibatkan e-belian atau pembelian dalam talian, serta kes Macau Scam menunjukkan peningkatan lebih 30 peratus.
Roslee turut mengingatkan orang ramai termasuk golongan profesional agar berhati-hati ketika membuat pembelian secara dalam talian.
#along #ceti haram #haram #jalan singkat #jenayah #kewangan #lintah darat #Peminjam #pendapatan #pinjaman wang #PKP #polis #Roslee Chik #terengganu #terjebak
;