PKP: Tiada sekatan aktiviti rantaian bekalan dan pemasaran makanan - Kiandee

Bernama
Mac 22, 2020 08:37 MYT
Kebenaran beroperasi itu turut merangkumi premis serta kilang yang menyokong rantaian bekalan makanan berkaitan dan ditakrifkan sebagai kritikal namun dengan penugasan pekerja di tahap minimum. - Gambar fail
Aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan akuakultur dibenarkan terus beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan bekalan daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta hasil perikanan mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan hari ini berkata kebenaran itu juga diberikan kepada perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran makanan termasuk input-input pertanian dan makanan ternakan.
"Ini bagi memastikan bekalan produk-produk penting dan kritikal yang dikeluarkan oleh petani, nelayan dan penternak sampai kepada pengguna dalam tempoh masa dan dalam keadaan yang sempurna.
"Bagaimanapun mereka perlu mematuhi langkah-langkah sanitasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," menurut kenyataan itu.
Kiandee berkata kebenaran beroperasi itu turut merangkumi premis serta kilang yang menyokong rantaian bekalan makanan berkaitan dan ditakrifkan sebagai kritikal namun dengan penugasan pekerja di tahap minimum.
"Pihak industri ini juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan langkah-langkah saringan dan pencegahan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan di peringkat syarikat demi keselamatan pekerja dan pelanggan," katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Pemantauan Krisis COVID-19 di talian hotline 03-8870 1307/1663/1664 atau e-melkan kepada bilikgerakan@moa.gov.my
-- BERNAMA
#bekalan makanan #COVID-19 #Kementerian Kesihatan Malaysia #kesihatan #perintah kawalan pergerakan #PKP #rakyat