PKP: Tiada bot pemancing, pelancong di sekitar Pelabuhan Klang
Bernama
Mac 24, 2020 04:50 MYT
Mac 24, 2020 04:50 MYT
Tiada bot pemancing dan bot pelancong kelihatan di sekitar perairan Pelabuhan Klang hari ini, namun terdapat empat bot nelayan tempatan tidak berlesen di Kuala Selangor dikesan cuba keluar ke laut.
Mereka diarah pulang serta-merta oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membuat rondaan di perairan itu.
Suasana itu dilihat oleh wartawan Bernama yang berpeluang menyertai rondaan kira-kira dua jam bersama APMM di sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor pada Sela bagi memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Rondaan di beberapa kawasan tarikan pelancong dan pemancing di perairan Kuala Selangor, seperti Pulau Angsa dan benteng pasir Sky Mirror pula mendapati, lokasi itu kini lengang dan tidak lagi dipenuhi orang ramai seperti kebiasaannya.
Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Selangor, Komander Maritim Abdul Hakim Mohd Idris berkata pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan PKP melibatkan komuniti maritim di perairan berkenaan yang pada hari biasa dilihat agak sibuk.
"Pada peringkat awal pelaksanaan PKP, memang ramai nelayan dan pemancing masih keluar ke laut tetapi sejak dua ke tiga hari lepas, jumlahnya berkurangan secara drastik. Dalam rondaan hari ini, kami lihat tiada lagi bot pemancing serta bot pelancong beroperasi.
"Hanya nelayan berlesen yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan dibenarkan turun ke laut menangkap ikan," katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa.
Abdul Hakim berkata selain melaksanakan tugas memastikan PKP dipatuhi, rondaan APMM di laut masih mengutamakan pembanterasan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pencerobohan rakyat asing.
Sementara itu di LUMUT, APMM Perak melipatgandakan pengoperasian iaitu menambah daripada satu kepada dua kapal untuk melakukan pemantauan pada setiap hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
"Kami juga tetap meneruskan rondaan pengawasan Op Sayong dan Op Pintas bagi memastikan tiada kemasukan pendatang asing ke negara ini," kata Pengarah APMM Perak Kpt Maritim Shahrizan Raman dalam kenyataan pada Selasa.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#APMM
#bot
#ceroboh
#COVID-19
#koronavirus
#nelayan
#operasi
#Pelabuhan Klang
#pelancong
#pemancing
#pematuhan
#pendatang asing
#perairan
#perintah kawalan pergerakan
#ronda
#Selangor
#seludup