PKP: SOP hantar pulang penuntut IPT ambil kira geografi Sabah, Sarawak

Syafik Shukri Jalil
April 24, 2020 15:14 MYT
Ismail Sabri berkata, SOP berbeza diguna pakai untuk menghantar mahasiswa berasal dari Sabah dan Sarawak. Gambar/ Bernama.
Proses mengatur perjalanan pulang mahasiswa berasal dari Sabah dan Sarawak dilakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang mengambil kira kedudukan geografi serta bentuk muka bumi kawasan di dua negeri itu.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masalah perhubungan serta jaringan pengangkutan di kedua-dua negeri itu diambil kira dalam proses mengatur perjalanan pulang mahasiswa.
Katanya, ini kerana terdapat kesukaran menghubungkan mereka ke kampung disebabkan keperluan menggunakan pengangkutan udara dan air.
“Sebagai contoh, apabila sampai di satu lapangan terbang misalnya di Sibu, kalau berlaku penghantaran ke Kapit sudah pasti SOP akan berbeza (daripada SOP digunakan di kawasan lain).
“Kalau di kawasan lain pastinya kita boleh hantar ke balai polis berdekatan tetapi situasi ini sangat berbeza di Sabah dan Sarawak,” ujarnya semasa sidang media harian pada Jumaat.
Beliau berkata, penerbangan pulang semua penuntut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Katanya, bagi penuntut yang pulang ke kawasan Zon Hijau, mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang terdekat dengan kediaman mereka dan perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Proses penghantaran pulang melibatkan 85 peratus atau 53,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Kira-kira 15 peratus penuntut lagi telah memilih untuk terus kekal berada di kampus masing-masing dan pihak KPT akan menyediakan makanan dan minuman seperti biasa.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #Kementerian Pengajian Tinggi #mahasiswa #pengangkutan air #pengangkutan udara #Sabah #Sarawak #SOP
;