PKP: Siswa sambut Syawal di kampus
Muhafandi Muhamad
Mei 6, 2021 07:46 MYT
Mei 6, 2021 07:46 MYT
KOTA BHARU: Walaupun penuntut pusat pengajian tinggi dibenarkan pulang beraya bermula hari ini, ada dalam kalangan mereka yang mengambil keputusan sebaliknya.
123 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) misalnya mengambil keputusan berada di kampus dan rumah penginapan.
Menurut Umi Salimah Kassim, ini tahun pertama dia tidak pulang beraya bersama keluarga di kampung.
"Ini tahun pertama saya tidak pulang beraya di kampung bersama keluarga di Kedah," katanya.
Bagi Mohd Aimi Mohd Zubir pula, walaupun dia berasa sedih selepas lebih 10 bulan tidak bertemu keluarga, dia rasakan ia menjadi tanggungjawab bagi membantu mengekang menularan wabak COVID-19 di negara ini.
"Ini merupakan kali pertama saya tidak kembali ke kampung bersama keluarga untuk Hari Raya.
"Walaupun saya rasa sedih kerana tidak bertemu mereka lebih 10 bulan, namun sebagai wakil Majlis Perwakilan Pelajar, ini merupakan tanggungjawab saya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Professor Dr Razli Che Razak berkata, penuntut yang tidak pulang akan berada di kampus dan kediaman masing-masing.
Manakala seramai 927 penuntut dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing bermula hari ini secara berperingkat selama dua hari.
"MKN telah tetapkan SOP yang akan kami patuhi. Seramai 927 penuntut akan pulang melalui tiga cara.
"Yang pertama mereka dijemput ibu bapa, kedua UMK akan menyediakan bas sewa khas untuk mereka pulang dan ketiga mereka pulang melalui kenderaan awam yang dibenarkan iaitu kapal terbang," jelasnya lagi.
Penuntut akan kembali semula ke kampus masing masing bermula 15 dan 16 Mei depan dan akan diletakkan dalam pengasingan selama 10 hari.