KUALA LUMPUR: Suasana di beberapa pasar raya dilaporkan sesak sejak pagi tadi ekoran pengumuman sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' yang bakal berkuat kuasa Selasa depan.

Tinjauan Astro AWANI di pasar raya besar Mydin, USJ mendapati keadaannya hampir sama seperti pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, namun dalam keadaan lebih 'tenang' dan terkawal.

Rata-rata mereka yang ditemui mengakui pengalaman berdepan dengan PKP 1.0 membuatkan mereka membuat pembelian mengikut keperluan.

Seorang pekerja swasta, Marina Djapar, 41, berkata, berbeza dengan PKP 1.0, kali ini dia membeli barang mengikut keperluan.

"Dulu kita tidak tahu, jadi beli dan buat stok. Sekarang kita dah tahu, kedai-kedai masih lagi beroperasi, jadi tak perlu beli banyak, cukup sekadar untuk keperluan satu atau dua minggu," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelanggan, Bala Subramaniam, 57, berkata, dia membuat persiapan awal 'lockdown' dengan membeli barangan keperluan untuk seminggu.

"Pada masa yang sama, saya mengamalkan aspek keselamatan dengan memakai sarung tangan dan pelitup muka," katanya.

Bagi pensyarah sebuah kolej swasta, Moh Jamil Jelani, 59, meskipun orang ramai keluar membeli barang keperluan, namun kuantitinya tidak seperti PKP 1.0.

"Hari ini memang ramai, tapi tak seperti PKP 1.0. Orang ramai dah sedar dan sudah tahu membuat perancangan awal," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin menjangkakan, jumlah orang ramai yang bakal menyerbu pasar raya untuk membeli barangan keperluan susulan sekatan penuh dijangka meningkat dalam satu atau dua hari ini.

Total Lockdown | Lagi pembelian panik?


Namun begitu katanya, berbeza dengan PKP 1.0, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada kali ini berada di tahap yang sangat baik.

Bagaimanapun katanya, bekalan makanan adalah mencukupi dan justeru orang ramai tidak perlu bimbang membuat pembelian panik.

"Kalau hari-hari biasa, pada satu-satu masa, kita boleh merekodkan 100 hingga 150 pelanggan keluar masuk, tapi hari ini, kita merekodkan hampir 800 pelanggan pada setiap jam," katanya.

Ditanya mengenai bekalan roti, beliau berkata, semua pembekal termasuk syarikat pembuatan roti dijangka meningkatkan kapasiti bekalan selaras dengan permintaan orang ramai.