PKP Selangor, KL: Waktu operasi rel dan bas Prasarana seperti biasa

Hasimi Muhamad
Mei 6, 2021 11:01 MYT
Masa menunggu pada waktu puncak antara tiga minit bagi LRT Laluan Kelana Jaya. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Waktu operasi bagi semua perkhidmatan rel transit dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) beroperasi seperti biasa dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor berkuat-kuasa mulai hari ini.
Selain itu, Ketua Pegawai Operasi Transit Aliran Ringan (LRT), Azmi Mohd Zain berkata perkhidmatan sistem LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel akan beroperasi seperti jadual sedia ada.
Katanya, masa menunggu bagi LRT Laluan Kelana Jaya adalah tiga minit pada waktu puncak, manakala kekerapan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang pada waktu puncak pula adalah empat minit
"Prosedur operasi standard (SOP) kita juga macam biasa. Sejak PKP 1.0, aktiviti pencegahan COVID-19 kita teruskan sepert biasa.
"Pencapaian bilangan penumpang pada waktu PKP ini lebih kurang 45 peratus. Jadi kapasiti masih banyak lagi dan kita tidak perlu khuatir terhadap kepadatan dalam tren.
"SOP-SOP pembersihan tren berjalan macam biasa dan kalau kita nampak sekarang ini staf bahagian depan kita memakai face shield," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Stesen LRT KL Sentral, di sini hari ini.
Enam daerah di Selangor diletakkan di bawah PKP berkuat kuasa hari ini hingga 17 Mei berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.
BACA: PKP dilaksanakan di enam daerah di Selangor berkuat kuasa 6 Mei
Sementara itu, PKP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula bermula 7 hingga 20 Mei.
BACA: PKP di Kuala Lumpur mulai 7 Mei hingga 20 Mei
Berdasarkan pemerhatian, Azmi berkata bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut masih tidak menunjukkan perbezaan ketara walaupun PKP telah bermula di daerah Selangor.
Bagaimanapun, beliau berkata Prasarana akan menambah kekerapan tren sekiranya berlaku sebarang gangguan perkhidmatan.
"Jadi pagi ini kebetulan saya menaiki tren dari Kajang, dan saya dapati penumpang dalam MRT ke KL, masih macam biasa lagi. Cuma perbezaan bila pertukaran kepada lRT di Stesen Pasar Seni, saya dapati kesesakan di platform dan selepas proses pertukaran itu, (ia mula) berkurang.
"Biasa dalam pukul 8 pagi kita akan tengok kesesakan sikit pada eskalator. Namun pada hari ini semuanya lancar.
"Jadi di situ indikasi menunjukkan bahawa terdapat pengurangan sedikit, dan pada pukul 8 pagi tadi pun di platform Stesen KL Sentral, penumpang pun kurang daripada biasa kecuali bila tren sampai," katanya lagi.
#LRT #MRT #Kuala Lumpur #perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #prasarana #Waktu operasi LRT #Selangor PKP #KL PKP
;