PKP: Sediakan alat pengimbas suhu badan di tapak pembinaan - Fadillah

Isabelle Leong
April 22, 2020 16:23 MYT
Waktu kerja di tapak pembinaan ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang sahaja, selama lima hari seminggu. - Gambar hiasan.
Syarikat dan kontraktor yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menyediakan alat pengimbas suhu badan atau thermal scanner di tapak pembinaan.
Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan.
“Kontraktor atau syarikat yang diluluskan untuk beroperasi hendaklah menyediakan alat pengimbas suhu badan atau thermal scanner serta melakukan saringan pekerja yang mempunyai gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
“Pengukuran suhu badan dan saringan gejala perlu dilakukan setiap hari di pintu masuk tapak pembinaan atau premis,” kata Fadillah pada sidang media mengenai SOP pembinaan semasa PKP pada Rabu.
Tambahnya lagi, sekiranya ada pekerja di sesebuah tapak pembinaan didapati positif COVID-19, keseluruhan projek berkenaan akan dihentikan.
Setakat ini, katanya, kerajaan telah menerima lebih 19,000 permohonan daripada syarikat dalam industri pembinaan untuk beroperasi sepanjang PKP.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,856 permohonan sudah diluluskan manakala 7,387 permohonan gagal.
Dalam pada itu, beliau juga berkata waktu kerja di tapak pembinaan ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang sahaja, selama lima hari seminggu.
#alat saringan suhu badan #Fadillah Yusof #garis panduan #Menteri Kanan Infrastruktur #perintah kawalan pergerakan #PKP #prosedur operasi standard #saringan #SOP #tapak pembinaan #thermal scanner
;