PKP: Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo terjejas teruk
Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Mei 5, 2020 10:40 MYT
Mei 5, 2020 10:40 MYT
Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo di Batu 14, Sepilok di sini, terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.
Sebelum COVID-19 melanda, pusat terbabit yang juga satu-satunya pusat penjagaan beruang di negara ini, beroperasi dengan baik malah menjadi lokasi pilihan pelancong dari Eropah khususnya yang berkunjung ke Sandakan.
Namun, sejak PKP dilaksanakan, lokasi pelancongan itu ditutup menyebabkan sumber pendapatan pusat berkenaan yang dibuka pada 2008 terputus sepenuhnya.
Pengasas pusat berkenaan, Dr Wong Siew Te, berkata kakitangan yang terlibat dalam penjagaan 40 ekor beruang madu di pusat itu masih bekerja ketika ini.
“Beruang yang ada di sini masih dijaga dengan yang baik oleh penjaganya sama seperti sebelum PKP. Tetapi, kakitangan pejabat, pegawai pendidikan dan penjaga tiket bekerja dari rumah.
“Pusat ini terpaksa ditutup kepada pelancong selepas PKP dikuatkuasakan sekali gus menyebabkan pendapatan daripada jualan tiket, cenderamata dan aktiviti berkaitan langsung tidak ada, maksudnya pendapatan pusat ini sudah terputus,” katanya.
Dr Siew Te berkata, berdasarkan statistik, kehadiran pelancong tahun lalu adalah lebih 84,000 orang dengan 60 peratus adalah pelancong asing terutama dari United Kingdom.
Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, cabaran utama dihadapi mereka adalah untuk memastikan pusat itu terus beroperasi.
“Kos operasi untuk sebulan adalah kira-kira RM120,000 merangkumi makanan beruang, ubat-ubatan, gaji kakitangan dan kos penjagaan,” katanya.
Justeru, pihaknya merayu orang ramai agar dapat menyalurkan sumbangan, selain berharap kerajaan turut membantu memberikan dana dengan segera.
Katanya, mana-mana pihak yang ingin membantu boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.bsbcc.org.my atau menghubungi pejabat konservasi di talian 08-9534491.
Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Land Empowerment Animals People.
#beruang
#beruang madu Borneo
#COVID-19
#hidupan liar
#hilang pendapatan
#pelancong
#pelancongan
#PKP
#pusat konservasi
#Sabah
#Sandakan