PKP: Pusat hiburan tidak serik kena kompaun langgar SOP
Astro Awani
Mei 5, 2021 06:38 MYT
Mei 5, 2021 06:38 MYT
KUALA LUMPUR: Degil dan berlagak kaya!
Tindakan sebuah pusat hiburan di ibu negara seakan mencabar kewibawaan pihak berkuasa apabila ia sekali lagi diserbu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Akibatnya, 90 pengunjung terdiri daripada 51 lelaki dan 39 wanita berusia 20 sehingga 45 tahun dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM430,000.
Ketika serbuan Op Pematuhan itu, kesemua pelanggan leka berhibur tanpa menghiraukan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabata Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur SAC Datuk Azman Ayob berkata, polis turut merampas 500 jenis arak pelbagai jenama bernilai lebih RM400,000 kerana premis itu tiada lesen perniagaan minuman keras.
Azman turut memberi peringatan tegas kepada masyarakat untuk terus mematuhi SOP di bawah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu jika didapati melanggar SOP PKP.
“Kita akan mengambil tindakan dan melaporkan untuk diambil tindakan sita premis ini oleh pihak berkuasa tempatan. Ia merupakan kesalahan berulang yang telah dilakukan oleh premis ini.
"Setakat ini, dalam masa terdekat ini, sudah dua kali tindakan diambil. Dan pihak polis terus menjalankan operasi sebelum ini dari masa ke masa untuk membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
#pusat hiburan
#kompaun
#SOP
#PKP
#COVID-19
#hiburan
#sita premis
#lesen
#minuman keras
#arak
#IPK Kuala Lumpur
#Azman Ayob
#rampas
#Op Pematuhan