PKP: Perusahaan keropok lekor Terengganu jalani 'normal baharu'

Najmi Syahiran Mamat
April 16, 2020 14:45 MYT
Hana berkata, tumpuan kini terarah kepada penyesuaian strategi baharu untuk memastikan pelanggan dapat menikmati keropok lekor seperti biasa. - Gambar Astro AWANI.
Cukup sebulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan kepada fasa ketiga, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu menjalani ‘normal baharu’ dalam mengusahakan perniagaan.
Selain berdepan dengan penurunan peratusan hasil jualan, jarak pengedaran produk yang terhad juga antara cabaran utama pengusaha bagi memastikan perniagaan mereka dapat bertahan.
Bagi usahawan yang juga Pengarah Urusan Tokku Lekor Sdn Bhd di Kuala Terengganu, Nurul Hana Nordin, pihaknya perlu melakukan perubahan kerana suasana amat berbeza ketika ini terutama ketiadaan pelanggan singgah di kedai seperti sebelum ini.
Jelasnya, tumpuan kini terarah kepada penyesuaian strategi baharu untuk memastikan pelanggan dapat menikmati keropok lekor seperti biasa.
“Sebelum ini, perniagaan saya banyak bergantung kepada ‘walk-in customer’ tetapi sejak PKP ini dijalankan, kami mengambil inisiatif untuk menumpukan jualan kepada platform digital seperti Facebook dan Instagram.
“Kami memang tidak boleh menjalankan perniagaan di premis seperti sebelum ini. Jadi, kami perlu membuat penghantaran produk ke rumah pelanggan,” katanya ketika ditemu bual melalui Skype dalam Buletin AWANI.
Diminta mengulas mengenai insentif kerajaan menerusi Pelan Tindakan Ekonomi, Hana berkata walaupun ia sedikit sebanyak membantu para pekerja, namun kos pembayaran gaji kepada pekerja masih perlu ditanggung majikan.
Hana berkata sejak wabak COVID-19 menular, sesetengah pekerja memilih untuk mengambil cuti tanpa gaji kerana bimbang keselamatan mereka ketika bekerja.
Dalam pada itu, mengenai harapannya dalam menghadapi suasana perniagaan pasca PKP, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan dana berbentuk geran.
“Sekiranya dalam bentuk pinjaman, PKS mungkin tidak mampu membayar balik pinjaman itu tetapi jika dalam bentuk geran, ia mungkin sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kami,” katanya.
#Facebook #Industri Kecil Sederhana #keropok lekor #keropok lekor Terengganu #koronavirus #Kuala Terengganu #Pelan Tindakan Ekonomi #perintah kawalan pergerakan #PKS #PRIHATIN #usahawan
;