PKP penuh dapat kurangkan kes di lokaliti tertentu - Pakar perubatan

Astro Awani
Mei 17, 2021 19:04 MYT
Kata Dr Zainal, rakyat masih keliru dan tidak puas hati dalam isu berkenaan vaksin, SOP dan pelaksanaan PKP. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di lokaliti tertentu dapat mengurangkan angka jangkitan COVID-19.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pada ketika itu juga sesuai untuk menyampaikan nasihat serta membimbing mana-mana individu yang masih degil dalam aspek penjagaan prosedur operasi standard (SOP).
"Saya rasa kalau kita ambil lokaliti yang banyak kes dan terlalu aktif, maknanya berlaku peningkatan kes saban hari, jadi kita setuju, kita lock down sekurang-kurangnya dua minggu, lebih baik tiga minggu atau sebulan mungkin terlalu lama. Maknanya PKP seperti perintah berkurung.
"Jadi tidak ada pergerakan, lebih mudah kita menyekat kes luar kawasan. Saya bersetuju jika dibuat begitu daripada kita membuat PKP keseluruhan tetapi masih lagi berlaku pergerakan, jangkitan dan sebagainya," katanya semasa sidang video pada Isnin.
BACA: Permohonan fasa kedua vaksin AstraZeneca akan dibuka pada 23 hingga 26 Mei ini - Khairy
BACA: Dr Adham nasihat masyarakat elak beraya di pusat beli-belah
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan, kementeriannya akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor jika usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes di negeri itu.
BACA: Kes COVID-19 terus naik di Selangor? KKM mungkin syor PKP penuh - Dr Adham
Beliau turut bersetuju supaya SOP lebih ketat dilaksanakan di Selangor, yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari ketika ini.
Dalam pada itu kata Dr Zainal, rakyat masih keliru dan tidak puas hati dalam isu berkenaan vaksin, SOP dan pelaksanaan PKP.
Ujarnya, isu itu dapat diselesaikan jika kerajaan menggunakan satu agensi sahaja untuk mengendalikan komunikasi, risiko serta urusan vaksin.
#SOP #COVID-19 #PKP #vaksin #perubatan #AstraZeneca #perintah kawalan pergerakan #Dr Zainal Ariffin Omar
;