PKP Penuh: 43 lokasi Pasar Segar Terkawal dibuka - FAMA

Bernama
Jun 1, 2021 08:11 MYT
Pasar Tani Kekal, MyFarm Outlet dan Agrobazaar beroperasi bermula 6 pagi sehingga 4 petang, manakala Pusat Operasi FAMA pada 7 pagi hingga 12 tengah hari. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara akan dibuka, dalam tempoh sekatan pergerakan penuh bermula hari ini, menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Menteri Pertanian dan Indusri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan semalam memaklumkan, tujuan PST diwujudkan bagi memberi akses pilihan kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan, dengan penawaran penjimatan lima hingga 20 peratus.
Beliau berkata, inisiatif ini juga sebagai ruang pasaran kepada usahawan memasarkan produk ketika tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, selama 14 hari ini.
FAMA dalam kenyataan sama memaklumkan, jumlah PST ini terdiri daripada 24 buah Pasar Tani Kekal, tiga 'MyFarm Outlet', 14 Pusat Operasi FAMA dan dua Agrobazaar, berbanding 63 lokasi dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lepas.
"Sebanyak tujuh komoditi ditawarkan di semua outlet PST ini iaitu, sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan atau hasil laut, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.
"Pasar Tani Kekal, MyFarm Outlet dan Agrobazaar beroperasi bermula 6 pagi sehingga 4 petang, manakala Pusat Operasi FAMA pada 7 pagi hingga 12 tengah hari," menurut kenyataan itu.
PST juga beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan dengan penjarakan tiga meter antara gerai, kawal selia di pintu masuk dan keluar, oleh pihak berkuasa serta penetapan had kemasukan pengunjung di kawasan PST pada satu masa.
Kenyataan itu menyebut, operasi PST kali ini juga menawarkan pembelian secara dalam talian dan pesanan boleh dibuat sebelum pengoperasian PST, sama ada melalui platform media sosial, e-dompet atau e-dagang dan membuat bayaran terus secara dalam talian atau tunai semasa hantar (COD).
Sementara itu, bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh ini, usahawan yang menghadapi masalah pemasaran hasil pertanian digalak menghubungi pejabat FAMA berhampiran, atau melalui portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/) untuksebarang pertanyaan, aduan dan maklum balas.
Maklumat lanjut berhubung tarikh dan waktu operasi Pasar Tani Kekal, Pasar Tani dan Pusat Operasi di seluruh negara boleh diakses menerusi pautan (www.fama.gov.my/faq).
-- BERNAMA
#SOP #media sosial #PKP #usahawan #FAMA #MyFarm Outlet #sekatan pergerakan penuh #perintah kawalan pergerakan #PKP Penuh #total lockdown #E-dagang #dalam talian #Pasar Segar Terkawal #Pilihan #Barangan Keperluan #penjimatan #Ronald Kiandee #pasar #pasar tani
;