PKP: Penjaja minta kerajaan pertimbang kebenaran operasi pasar malam

Bernama
Januari 15, 2021 06:14 MYT
Tahap kesedaran dan disiplin masyarakat untuk membudayakan kawalan kendiri juga memainkan peranan sekiranya golongan penjaja dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) meminta agar kerajaan mempertimbang untuk membenarkan operasi pasar malam di enam negeri yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membolehkan pendapatan terus dijana dalam tempoh sukar ini.
"Golongan penjaja ini hampir keseluruhan terdiri daripada golongan B40, sebahagiannya ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan tiada simpanan, kalau seminggu dua mungkin masih boleh bertahan, tapi apa akan jadi jika PKP dilanjutkan," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'PKP 2.0 Dan Darurat: Nasib Kumpulan Rentan' terbitan Bernama TV malam tadi.
Mohamed Zamri berkata beliau yakin golongan penjaja mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk menjalankan perniagaan dalam normal baharu susulan pengalaman PKP pelbagai fasa sebelum ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata operasi pasar malam bagi tempoh PKP memerlukan model yang jelas agar memastikan matlamat mengekang COVID-19 tercapai tanpa mengabaikan kebajikan mana-mana pihak.
"Umpamanya, kalau dulu kita boleh masuk ke pasar malam dari mana-mana arah, mungkin boleh wujudkan dan hadkan laluan pintu masuk dan keluar dengan kawalan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya.
Selain itu, Noor Azlan berkata tahap kesedaran dan disiplin masyarakat untuk membudayakan kawalan kendiri juga memainkan peranan sekiranya golongan penjaja dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.
-- BERNAMA
#PKP #pasar malam #SOP #operasi #Peniaga kecil #penjaja #Melayu #Mohamed Zamri Mohammed #normal baharu #Majlis Tindakan Ekonomi #Noor Azlan Ghazali #kawalan kendiri
;