PKP pengaruhi kesihatan mental pekerja dan majikan yang bekerja dari rumah
Eton Khir
Jun 6, 2021 17:09 MYT
Jun 6, 2021 17:09 MYT
Isu tekanan mental dan emosi sedikit sebanyak mempengaruhi majikan dan pekerja yang terpaksa bekerja dari rumah (WFH) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lam Thye Lee berkata, isu majikan dan pekerja ini tidak harus dipandang remeh kerana ia melibatkan kualiti serta prestasi kerja individu.
Malah, beliau turut berkongsi punca tekanan mental dan emosi dialami oleh pekerja ketika PKP.
"Jadi apa yang saya fahamkan daripada mereka yang terpaksa bekerja dari rumah, mereka juga ada menghadapi pelbagai cabaran misalnya melakukan mesyuarat atas talian namun akses internet tidak stabil dan ada gangguan bunyi bising. Ini kerana rumah itu bukanlah satu suasana yang kondusif untuk bekerja," ulasnya dalam Buletin AWANI, pada Ahad.
Mendepani tekanan psikologi ketika 'lockdown'
Selain itu, turut menjadi isu jika pekerja tidak cukup alat peranti dan harus berkongsi dengan ahli keluarga.
Tambahnya lagi, sokongan komuniti dan aktiviti senaman turut mempengaruhi mental seseorang.
"Maka saya ingin mencadangkan kepada MKN, untuk menimbang semula dan membenarkan taman (awam) itu digunakan oleh sesiapa yang ingin mengurangkan stres dan yang ingin mendapat nafas atau dalam Bahasa Inggeris, breathe in some fresh air" tambahnya.
Bagaimanapun, isu ini boleh ditangani jika kerajaan dan majikan memberikan sokongan mental dan kemudahan insentif kepada pekerja.