PKP pencetus hubungan 'tidak disangka' pengusaha Airbnb dengan warga China
Farhana Joni
Jun 6, 2020 20:11 MYT
Jun 6, 2020 20:11 MYT
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu menyaksikan banyak kisah suka duka dikongsikan dalam kalangan rakyat Malaysia mahupun warga luar yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Ada sedih, gembira dan yang tidak disangka-sangka seperti yang berlaku terhadap pengusaha sebuah rumah inap desa di Salak Tinggi, Nani Yunus.
Berkongsi di laman Facebook, pemilik Teratak Azimah itu memberitahu, dia menerima seorang ibu, Mama Xiang dan anaknya, Xiaoxian Xiang yang berasal dari Shanghai, China sebagai tetamu selama 80 hari.
Katanya, anak-beranak ini pada mulanya bercuti di Bali, Indonesia dan Langkawi, Kedah sebelum dijadualkan pulang ke Shanghai, China pada 18 Mac.
"Bagaimanapun, kedua-dua mereka terkandas di Malaysia susulan perintah PKP mula dikuatkuasakan pada tarikh tersebut dan terus menempah untuk menginap terus di rumah saya.
"Pada awalnya takut juga menerima pelanggan dari China sebab COVID-19 dikatakan bermula dari negara itu tapi apabila melihat ibunya yang sudah berusia 80 tahun, jadi saya bersetuju terima," katanya.
Walaupun berdepan dengan kekangan bahasa sepanjang hampir tiga bulan dengan anak-beranak berkenaan namun menurut Nani, jalinan persahabatan telah terjalin antara mereka.
"Terjemahan Google Translate amat membantu, walaupun tidak tepat dan terjemahan tersasar jauh daripada maksud sebenar, tetapi sikit-sikit fahamlah juga," ujar Nani lagi.
Katanya, dia pada mulanya agak sedih apabila Kedutaan Besar Republik China di Malaysia memaklumkan berjaya membantu anak-beranak itu untuk pulang tetapi akhirnya tumpang gembira apabila sedar mereka kini dapat kembali ke pangkuan keluarga yang dirindui di negara itu.
"Banyak aktiviti kami lakukan bersama, sebelum Ramadan misalnya, kami bermain golf dan badminton, melihat matahari terbenam dan sama-sama teruja apabila melihat kapal terbang.
"Mama Xiang akan menyanyi lagu opera Cina pada setiap pagi dan ia menjadi antara kenangan paling saya rindui ketika ini," katanya.
Jelasnya, dua beranak itu telah berangkat pulang ke Shanghai, China dengan menaiki penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 2 petang pada Jumaat.
Dalam masa sama, Nani memberitahu, dua beranak itu turut menzahirkan penghormatan terhadap pasukan penguatkuasa negara.
"Saya selalu bawa Xiaoxian Xiang ke kedai beli barang dan dia menganggap polis negara kita baik kerana tidak dikenakan tindakan apabila ditahan dalam sekatan jalan raya," katanya.
#Airbnb
#COVID-19
#Mama Xiang
#Nani Yunus
#pandemik
#PKP
#Rumah inap desa
#Salak Tinggi
#Shanghai China
#Teratak Azimah
#Xiaoxian Xiang