PKP: Pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam diteruskan - Ismail Sabri
Fareez Azman
April 20, 2020 15:14 MYT
April 20, 2020 15:14 MYT
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa pembayaran balik pinjaman perumahan bagi kakitangan awam dibawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPSSA) diteruskan meskipun dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujarnya, ia selepas meneliti bahawa kakitangan awam masih menerima gaji meskipun bercuti berbanding golongan yang terjejas seperti peniaga B40.
"Tentang pinjaman perumahan saya percaya telah diumumkan telah dijawab iaitu kakitangan kerajaan masih menerima gaji seperti biasa, yang tidak ada gaji peniaga kecil yang jual goreng pisang tidak dapat buka perniagaan mereka.
"Sebab itu dibantu secara geran tapi kakitangan kerajaan masih bekerja walaupun bercuti gaji terus berjalan seperti biasa saya percaya kementerian telah beri jawapan ini. Itu antara alasan pinjaman perumahan kerajaan ini diteruskan seperti biasa," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Isnin.
Malah kerajaan ujarnya telah mengumumkan insentif RM500 diberikan kepada setiap penjawat awam dibawah gred 56.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) antara lain meminta kerajaan menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan Penjawat Awam dibawah LPPSA.
Presidennya, Adnan Mat memohon langkah itu diambil selari dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan yang dilakukan oleh institusi perbankan di negara ini.
Ujarnya, situasi pandemik COVID-19 turut menjejaskan pendapatan isi rumah penjawat awam dimana rata-rata gaji bersih sekitar 20 peratus ditolak dengan pinjaman perumahan dan pinjaman lain.
#COVID-19
#cuepacs
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
#kluster keselamatan
#koronavirus
#LPPSA
#Menteri Kanan
#normal baharu
#penjawat awam
#Pinjaman Perumahan
#PKP
#Putrajaya
#Sidang media