PKP pembakar semangat buat pemain boling negara mulakan perniagaan biskut
Fareez Azman
Oktober 24, 2020 15:00 MYT
Oktober 24, 2020 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kesan pandemik COVID-19 ke atas kelangsungan hidup rakyat ternyata memberi kesan mendalam ketika ini.
Bukan sahaja ada yang kehilangan pekerjaan malah ramai yang mempunyai pekerjaan terpaksa mencari ikhtiar mendapatkan pendapatan tambahan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ketika ini dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Namun, situasi itu bukanlah menjadi halangan bagi bekas juara boling remaja dunia, Natasha Mohamed Roslan untuk terus meraih pendapatan tambahan.
Malah, keadaan itu mencetuskan idea buatnya untuk menceburi bidang perniagaan biskut dalam talian menerusi Instagram.
Bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, Natasha, 24, tidak menyangka resipi biskut dengan jenama 'Cookiesanatomy'nya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.
"Saya sudah lama buat biskut (cookies) tetapi selalu buat untuk keluarga dan kawan sahaja sampailah pelaksanaan PKP lalu.
"Selepas bersenam menerusi dalam talian, tidak ada buat apa-apa, jadi terfikir macam hendak mencuba menjual biskut dan tidak menyangka mampu menjual sampai sekarang, Alhamdulillah," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menggunakan resipi yang diubah suai sendiri, perniagaannya itu terus mendapat permintaan tinggi.
"Sejujurnya saya tidak pandai memasak tetapi saya suka, memang suka buat biskut. Kadang-kadang ibu saya masak, saya tengok dan tolong juga.
"Orang yang bagi saya dorongan buat perniagaan biskut adalah keluarga dan rakan saya kerana mereka selalu cakap sedap jadi saya cuba jual.
"Alhamdullilah, saya betul-betul tidak menyangka, saya mampu menjual banyak juga biskut sejak PKP tempoh hari. Saya harap lepas ini, kalau ada peluang atau masa terluang saya akan cuba mengembangkan perniagaan saya," katanya yang sudah nmenjual lebih daripada 700 balang biskut.
Natasha mengakui rezeki sewaktu PKP dan PKPB ini memberikan kepuasan berniaga buatnya dan ditambah lagi apabila mendapat reaksi positif daripada pelanggannya.
"Kepuasan berniaga saya apabila orang beli dan beritahu saya, mereka suka sangat dengan biskut saya dan hendak buat tempah lagi," ujar Natasha.
Kisah Natasha ini, diharapkan dapat memberi inspirasi kepada remaja di luar sana agar tidak berputus asa dalam meneruskan kelangsungan hidup, meskipun terkesan dengan pandemik COVID-19.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#PKPB
#Kuala Lumpur
#Putrajaya
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKP
#COVID-19
#Bisnes Biskut
#ekonomi
#Bekas Juara Bowling Remaja
#Natasha Mohamed Roslan
#shm
#weekender