PKP: Pelajar UUM gembira akhirnya dapat pulang ke rumah
Bernama
April 28, 2020 20:31 MYT
April 28, 2020 20:31 MYT
Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) melahirkan rasa gembira apabila dibenar pulang ke rumah masing-masing selepas lebih sebulan berada di kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lepas.
Ng Shang Bao, 21, yang berasal dari Gombak berkata detik untuk pulang ke rumah sememangnya sangat dinantikan terutama bagi melepaskan perasaan rindu kepada keluarga.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pelajar universiti pulang ke rumah masing-masing setelah lebih 40 hari menjalani tempoh PKP di kampus. Detik untuk pulang ini sangat dinantikan semua pelajar.
"Saya berharap semua pelajar UUM dapat memberikan kerjasama sepanjang tempoh penghantaran pulang ini dengan mematuhi arahan yang ditetapkan termasuk menjaga jarak sosial agar proses ini dapat berjalan lancar," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sementara itu, Sumitrra A/P Paramalingam, 22, berkata dia juga tidak sabar untuk pulang ke rumahnya di Rawang, Selangor dan berterima kasih kepada pihak univerisiti yang banyak menjaga kebajikan pelajar sepanjang tempoh PKP ini.
"Apabila mendapat kebenaran untuk pulang, sudah pasti kami akan mengikut arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum dan setelah tiba di rumah.
"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat terutamanya UUM yang bertungkus-lumus dalam memutuskan rantaian COVID-19, malah menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar yang masih berada di kampus sepanjang tempoh PKP ini," katanya.
Sementara itu, Muhammad Fikri Burhan, 22, dari Bidor, Perak berkata dia dan pelajar yang lain lega dan bersyukur kerana kerinduan terhadap keluarga tercinta di kampung halaman akhirnya terubat dengan pengumuman kerajaan yang membenarkan pelajar pulang baru-baru ini.
"Saya tidak sabar menanti saat untuk berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga yang menanti kepulangan saya di kampung. Berkat doa pada bulan Ramadan, akhirnya doa kami untuk pulang ke rumah termakbul," katanya.
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani sebelum ini dilaporkan berkata hanya 60 pelajar universiti awam di zon utara akan dibenarkan pulang ke Lembah Klang hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Kumpulan pelajar itu adalah bagi perjalanan fasa pertama ke Lembah Klang sebelum diikuti perjalanan fasa kedua ke destinasi sama pada 12 Mei ini.
-- BERNAMA
#kampus
#kerajaan
#keselamatan
#koronavirus
#operasi
#pelajar
#perintah kawalan pergerakan
#SOP
#universiti utara malaysia