PKP: Pecut sampai habis minyak, pasangan kekasih ingkar dicekup
Shuhada Abdul Kadir
April 14, 2020 13:34 MYT
April 14, 2020 13:34 MYT
Sepasang kekasih terpaksa dikejar sejauh 15 kilometer oleh pasukan polis peronda selepas pasangan terbabit enggan memberhentikan kenderaan mereka ketika diminta berbuat demikian pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Suprintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira -kira jam 7 malam itu, pemandu lelaki berusia 24 tahun dan teman wanitanya yang berusia 18 tahun itu bagaimanapun terpaksa akur apabila kenderaan dinaiki kehabisan minyak ketika berada di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, di sini.
Menurut Arshad, pasangan berkenaan sebelum itu dikesan melanggar lampu isyarat ketika berada di persimpangan tiga di sekitar kawasan Rumbia.
Katanya, melihatkan kejadian itu, dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah bertindak mendekati kenderaan suspek.
“Pihak polis telah meminta suspek memberhentikan kenderaan namun dia enggan. Malah suspek juga bertindak agresif dengan memecut kenderaannya dan terus berlaku adegan kejar mengejar antara dua pihak.
“Bagaimanapun, selepas mengejar sejauh kira-kira 15km, kenderaan dipandu suspek tidak dapat meneruskan perjalanan apabila kehabisan minyak.
“Suspek kemudian berjaya ditahan di Taman Angkasa Nuri dan teman wanita suspek dilihat turut berada di dalam kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati tujuan pasangan itu bertemu adalah untuk melepak bersama dan oleh demikian, kedua-dua mereka didapati telah melakukan kesalahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Arshad berkata, semakan rekod lampau mendapati pemandu berkenaan pernah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah dan disabitkan hukuman di bawah Akta Dadah Berbahaya 12(3), Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
“Manakala wanita itu tiada sebarang rekod lampau. Kedua-dua mereka kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini.
“Kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 / Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
#Alor Gajah
#coronavirus
#COVID-19
#Dadah
#jenayah
#minyak
#pecut sampai habis minyak
#Perodua
#PKP
#polis
#siasatan
#suspek
#wanita