PKP: Panggilan ke Talian Kasih melonjak secara mendadak tahun lalu
Bernama
Februari 2, 2021 05:17 MYT
Februari 2, 2021 05:17 MYT
PUTRAJAYA: Jumlah panggilan ke Talian Kasih 15999 melonjak secara mendadak tahun lalu iaitu 153,024 berbanding 25,868 panggilan pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Selas.
Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan itu berlaku ekoran perluasan skop perkhidmatan iaitu perkhidmatan tele-kaunseling dan penggunaan aplikasi WhatsApp.
Menurut kenyataan itu peningkatan itu juga membuktikan bahawa Talian Kasih memainkan peranan yang dominan untuk mendengar keluh-kesah rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Talian bebas tol itu diwujudkan pada 2015 bagi menangani isu berkaitan kumpulan sasar kementerian, antaranya, penderaan kanak-kanak dan wanita, kaunseling, gelandangan, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan isu pemerdagangan orang.
"Sistem perkhidmatan Talian Kasih 15999 sedang ditambah baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
"Orang ramai diseru memanfaatkan talian ini dalam usaha mewujudkan masyarakat yang cakna dengan persekitaran termasuk isu penderaan kanak-kanak yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini," katanya.
-- BERNAMA